#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Singapura: Halimah Pertimbang Bertanding Pilihan Raya Presiden


 

Semalam (Ahad), Yang Dipertua (Speaker) Parlimen Singapura, Halimah Yacob menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu yang akan berlangsung pada bulan September.

“Saya sedang memikirkannya, untuk bertanding jawatan presiden. Presiden dipilih adalah satu tanggungjawab yang berat dan ia satu institusi penting di Singapura, jadi ia bukan sesuatu yang boleh diambil mudah….jadi ia memerlukan sedikit masa untuk berfikir,” kata beliau.

Pilihan raya pada tahun ini diperuntukkan khas untuk calon-calon dari kalangan orang Melayu, iaitu buat kali pertama sejak hampir 50 tahun lalu, selepas Yusof Ishak menjadi presiden pertama negara itu.

Yusof Ishak, Presiden Singapura yang pertama – Sumber: www.alchetron.com

Yusof berkhidmat sebagai presiden selama 5 tahun (1965-1970) dan selepas perkhidmatan beliau, Singapura telah melalui lima penggal tanpa seorang presiden Melayu.

Menurut Halimah, 62, beliau telah bercakap mengenai hasratnya untuk bertanding bersama keluarga dan rakan-rakan sekerja.

“Saya perlu berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan kerja saya. Ia bukanlah satu keputusan yang boleh dibuat oleh saya sendiri,”

Buat masa ini, Halimah akan memberi fokus penuh dalam melaksanakan tugasnya sebagai Speaker dan Ahli Parlimen (MP).

Halimah Yacob, Speaker dan Anggota Parlimen Singapura – Sumber: www.tnp.sg

Memetik laporan Straits Times, beliau telah memegang jawatan Speaker Parlimen sejak 14 Januari 2013.

Untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini, Halimah perlu meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen dan MP Marsiling-Yew Tee GRC menjelang hari penamaan calon.

Beliau juga perlu melepaskan segala jawatan dalam partinya, Parti Tindakan Rakyat (PAP), termasuk sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan Pengerusi Anggota Senior dalam parti.

Selain Halimah, terdapat dua lagi invididu lain yang telah mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding, iaitu:

Farid Khan Kaim Khan, Pengerusi Bourbon Offshore Asia – Sumber: www.straitstimes.com

1. Farid Khan Kaim Khan, 62, pengerusi penyedia perkhidmatan laut dari Bourbon Offshore Asia Pasific

2. Mohamed Salleh Marican, 67, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Second Chance Properties

Kedua-dua individu itu telah mengambil borang permohonan daripada Jabatan Pilihan Raya dan satu syarat kelayakan utama bagi calon sektor swasta adalah mereka perlu menjadi eksekutif tertinggi dalam sesebuah syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya $500 juta ekuiti pemegang saham.

Bourbon Offshore Asia dilaporkan mempunyai ekuiti pemegang saham sebanyak AS$300 juta manakala Second Chance Properties mempunyai antara $254.3 dan $263.25 sejak tiga tahun lalu.

Mohamed Salleh Marican, CEO Second Chance Properties – Sumber: http://www.straitstimes.com

Walau bagaimanapun, kuasa menentukan calon mana yang layak bertanding terletak dalam tangan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden.

Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang individu itu mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk melaksanakan fungsi dan tugas sebagai seorang presiden.

Dalam pada itu, hari terakhir untuk menyerahkan borang permohonan adalah 5 hari selepas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengeluarkan writ pilihan raya, yang dijangka akan dikeluarkan pada hujung bulan Ogos.

Sumber: Straits Times, Mediacorp Singapura

 

Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.