#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


7 Ahli Keluarga Maute Tidak Terlibat Dalam Keganasan


 

Tujuh orang anggota keluarga Maute yang ditahan pada hari Isnin tidak terlibat dalam sebarang kegiatan keganasan.

Memetik laporan Channel News Asia, mereka telah ditahan di lapangan terbang antarabangsa Manila, Filipina ketika hendak menaiki pesawat ke Kuala Lumpur, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Maute di negara itu yang telah bersumpah taat setia dengan pengganas IS.

Menurut sumber keselamatan serantau, tujuh orang penumpang itu adalah saudara jauh kumpulan Maute yang telah bertempur menentang pasukan keselamatan kerajaan Filipina selama berminggu-minggu di bandar Marawi.

“Maute yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila adalah saudara jauh Kumpulan Pengganas Maute,” kata sumber keselamatan.

Walaupun telah bebas daripada tuduhan, mereka tetap tidak dibenarkan untuk meninggalkan Manila.

Sumber itu turut menyatakan bahawa rekod tujuh orang tersebut telah disemak, di mana mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tidak terlibat dalam pertempuran di Marawi.

Tujuh orang ahli keluarga itu (4 lelaki dan 3 wanita) juga telah dibebaskan daripada tahanan imigresen. Kini, mereka diserahkan kepada Biro Penyiasatan Kebangsaan Filipina dan pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

Tahanan lelaki dikenal pasti sebagai Alnizar Palawan Maute, Abdulcahar Rachman Maute, Yasser Dumaraya Maute dan Ashary Palawan Maute.

Tambah sumber itu, kesemua tahanan tersebut mungkin mempunyai saudara mara di Malaysia, tetapi perkara ini masih belum disahkan.

Difahamkan, mereka telah membeli tiket penerbangan ke Malaysia sebelum pertempuran di Marawi tercetus.

Pertempuran itu diketuai oleh dua orang adik beradik, Omarkhayam Romato Maute dan Abdullah Maute daripada kumpulan Maute.

Bermula pada bulan Mei, lebih daripada 500 orang telah terkorban termasuk tentera, militan dan juga orang awam.

Kumpulan Maute dibantu oleh militan Abu Sayyaf yang diketuai oleh Isnilon Hapilon, dan mereka ingin menubuhkan ‘negeri Islam’ di bandar Marawi.

Mahmud Ahmad, bekas pensyarah sebuah universiti di Malaysia, turut terlibat dan dipercayai adalah orang kanan Hapilon.

Sumber risikan Malaysia berkata, Mahmud adalah dalang disebalik kumpulan pro-IS dan dia dipercayai masih hidup dan telah melarikan diri daripada Marawi.

 

 

 

 

Sumber: Channel News Asia
Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.