#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Thailand Destinasi Pilihan Pelancong China Beli Ubat Pencegahan HIV


 

Thailand merupakan salah sebuah negara di dunia yang menjadi destinasi pilihan pelancong China.

Kini, semakin ramai pelancong China datang ke Thailand untuk membeli ubat bagi mencegah penyakit HIV dengan kos yang murah.

Berdasarkan kajian kesihatan, ubat tersebut yang dikenali sebagai Pre-exposure prophylaxis atau PrEP, boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi hubungan seksual lebih daripada 90%, sekiranya ia diambil setiap hari.

Beberapa negara turut mengesyorkan pengambilan ubat itu sebagai ‘senjata’ untuk mencegah penyebaran HIV dalam kalangan golongan berisiko, seperti lelaki homoseksual (gay).

Pada tahun 2015, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) China meluluskan PrEP sebagai rawatan HIV/Aids, tetapi ia tidak diluluskan untuk mencegah penyakit tersebut.

Ini bermakna, doktor tidak dibenarkan untuk menpreskripsi ubat itu kepada pesakit melainkan mereka positif menghidapi virus itu.

Xiao Dong, individu yang mengendalikan badan bukan kerajaan (NGO), Tongzhi yang komited menentang Aids berkata, beliau mula pergi ke Thailand pada awal tahun lepas untuk bercuti dan membeli stok ubat anti-HIV itu.

Xiao, seorang lelaki gay terbuka, menyatakan bahawa kesihatan dan keselamatan adalah keutamaannya.

“Saya menggunakan kedua-dua kondom dan PrEP untuk melindung diri daripada HIV,” katanya.

Menurut Xiao, beliau mengenali hampir 100 lelaki daripada Beijing yang juga telah pergi ke Thailand untuk membeli ubat tersebut.

“Ia adalah petanda positif bahawa masyarakat kita menjadi lebih bertanggungjawab terhaap kesihatan sendiri dan orang lain,” ujar beliau sambil menambah bahawa mereka sanggup mengeluarkan duit untuk membeli ubat itu.

Beliau berkata, Thailand amat mudah untuk dilawati oleh rakyat China kerana mereka tidak memerlukan visa. Negara itu juga menawarkan akses mudah terhadap ubat itu dan menjualnya dengan harga berpatutan.

Di China, kos produk generik boleh mencecah 300 yuan untuk bekalan satu bulan, manakala produk berjenama pula berharga kira-kira 800 yuan untuk kuantiti yang sama.

Dalam pada itu, Dr Wu Hao, pengarah jabatan penyakit berjangkit di Hospital You’an di Beijing, menyatakan bahawa 90% penderita penyakit HIV pada tahun lepas adalah lelaki gay.

Menurut Dr Wu, keberkesanan PrEP telah diiktiraf dengan meluas di peringkat global.

Ia juga disenaraikan dalam garis panduan pencegahan dan rawatan HIV/Aids Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS).

Walau bagaimanapun, China masih belum memperkenalkan PrEP dalam garis panduan kebangsaannya.

Dr Wu berkata, kerajaan negara itu tidak mungkin akan memberi ubat itu secara percuma kepada mereka yang rela menjadi bahan uji kaji kerana kosnya yang terlalu mahal.

Ujar beliau lagi, jabatannya akan melancarkan kajian penyelidikan PrEP yang akan mengambil tempoh setahun mulai lewat tahun ini.

Ujian itu akan melibatkan 600 hingga 1,000 lelaki gay di negara itu, di mana mereka juga akan diberikan ubat PrEP secara percuma.

Sumber: Straits Times
Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.