#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Honduras Haramkan Perkahwinan Kanak-Kanak


 

Ahli Parlimen di Honduras telah sebulat suara mengundi untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Undang-undang baru ini meningkatkan umur minimum untuk berkahwin daripada 16 tahun kepada 18 tahun. Ini bermakna, kanak-kanak lelaki yang berusia di bawah 18 tahun dilarang untuk berkahwin dalam apa jua keadaan sekali pun, walaupun mereka mendapat kebenaran ibu bapa.

Belinda Portillo daripada badan kebajikan kanak-kanak Plan International berkata, Honduras itu telah “melakar sejarah” dengan meluluskan undang-undang tersebut, di mana 1 daripada 4 kanak-kanak di negara Amerika Tengah itu berkahwin di bawah umur 18 tahun.

“Perjuangan menentang perkahwinan kanak-kanak adalah cara yang strategik untuk mempromosikan hak dan pemerkasaan wanita dalam beberapa bidang, seperti kesihatan, pendidikan, pekerjaan, kebebasan daripada keganasan,” kata Portillo.

Namun, menurut kumpulan aktivis, ia akan menjadi amat sukar untuk menguatkuasakan undang-undang ini dalam komuniti orang asli dan kawasan-kawasan luar bandar yang miskin di Honduras kerana perkahwinan bawah umur adalah satu perkara biasa bagi mereka.

Disebabkan kemiskinan dan budaya, kes perkahwinan kanak-kanak selalunya melibatkan kanak-kanak perempuan yang berkahwin dengan lelaki yang lebih tua sekali gus menghalang mereka daripada menerima pendidikan dan peluang-peluang lain.

Menurut kumpulan kempen, Girls Not Brides, lebih daripada 15 juta kanak-kanak perempuan di seluruh dunia berkahwin di bawah usia 18 tahun pada setiap tahun.

Pakar menyatakan bahawa pengantin kanak-kanak perempuan lebih cenderung menjadi mangsa penderaan seksual dan domestik.

Secara global, kehamilan dan komplikasi kelahiran juga menjadi punca utama kematian kanak-kanak berusia 15 tahun hingga 19 tahun.

Portillo berkata, mengharamkan perkahwinan kanak-kanak di Honduras akan memberi mereka peluang untuk menjadi lebih berpendidikan dan meningkatkan pendapatan mereka sekali gus membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 3.5%.

Dalam sebuah laporan bulan lepas, Bank Dunia menyatakan bahawa perkahwinan ini akan menyebabkan negara membangun untuk membelanjakan bertrilion dolar menjelang tahun 2030, dan akan menghalang usaha global untuk menghapuskan kemiskinan.

Sumber: Independent UK
Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.