#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Perjanjian Dengan Netflix Dimeterai Ogos 2017


 

Internet Exchange Malaysia (MyIX) akan memuktamadkan perjanjiannya dengan syarikat hiburan dalam talian popular Amerika Syarikat, Netflix, untuk menyediakan perkhidmatan video dan filem di Malaysia menjelang akhir Ogos, kata pengerusinya Chiew Kok Hin.

Pengerusi MyIX, Chiew Kok Hin

Syarikat bukan berasaskan keuntungan MyIX, adalah pertukaran internet neutral yang pertama di mana penyedia perkhidmatan Internet (Internet Service Provider, ISP) tempatan dan penyedia kandungan berhubung untuk menukar trafik Internet.

Malaysia Sebagai Hab Kandungan Hiburan

Beliau berkata perjanjian yang dimeterai dengan syarikat hiburan tersebut membolehkan negara-negara jiran seperti Indonesia juga boleh mendapatkan kandungan dari Malaysia dengan bayaran nominal, jadi membuka jalan bagi Malaysia untuk menjadi hab kandungan hiburan di masa hadapan.

“Kami berharap dengan termeterainya perjanjian ini, kami boleh menarik banyak pihak antarabangsa untuk melabur di Malaysia  pada masa hadapan, hal ini kerana kami  sedang berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai gerbang pertukaran internet serantau,” katanya kepada Bernama.

Latar Belakang Netflix

Netflix adalah sebuah syarikat hiburan dalam talian popular Amerika yang menyediakan pelbagai video dan filem, malah ia merupakan syarikat Internet ke sembilan terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS $ 8.83 bilion.

Chiew menambah dengan negara ini dijadikan gerbang pertukaran Internet, ini akan mendorong negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk menjadikan Malaysia hub kandungan mereka.

Kehadiran Netflix bakal menjadikan Malaysia hab kandungan serantau Asia Tenggara

“Ia akan membawa kandungannya lebih dekat dengan kita,  tambahan pula negara-negara jiran bukan sahaja akan dapat menjimatkan kos, malah dapat meningkatkan kualiti kandungan yang diterima,” katanya.

Sejak MyIX ditubuhkan pada tahun 2006, ia telah memeterai perjanjian dengan pelbagai pihak termasuk Alibaba dan Yahoo.

Chiew juga berkata penurunan kos untuk menyediakan kandungan dalam tempoh beberapa tahun ini membolehkan syarikat telekomunikasi (telco) mengurangkan harga mereka dan menawarkan lebih banyak data dan jalur lebar  kepada pelanggan mereka.

“Pengurangan kos ini menyebabkan harga yang ditetapkan oleh syarikat telekomunikasi sedang dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan harga yang ditetapkan adalah adil,” katanya.

Kelajuan Internet di Malaysia

Illustrasi menunjukkan logo netflix

Tentang  kelajuan Internet di negara ini, Chiew yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AIMS Data Centre Sdn Bhd berkata,  secara keseluruhan kelajuan yang ditawarkan kepada pengguna internet Malaysia adalah memuaskan.

Walaupun begitu, masih terdapat kawasan tertentu di negara ini yang tidak dapat liputan Internet yang baik.

“Syarikat-syarikat Telco telah mengambil langkah-langkah untuk memperluas capaian internet mereka, namun diakui  masih terdapat halangan dalam menyediakan khidmat Internet yang pantas di seluruh negara,” katanya.

Sumber: Borneopost

Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.