#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Indonesia Haramkan Kumpulan Radikal


 

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) telah menandatangani satu dekri yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengharamkan kumpulan atau organisasi radikal.

Langkah tersebut adalah untuk meningkatkan usaha dalam membendung radikalisme daripada terus berleluasa susulan beberapa insiden pengeboman berani mati.

Difahamkan, radikalisme telah mencemarkan reputasi Indonesia sebagai negara yang mengamalkan Islam sederhana dan negara yang mempunyai populasi muslim terbesar di dunia.

Menurut Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto, dekri baru ini turut membenarkan institusi-institusi negara untuk menarik lesen mana-mana pertubuhan yang radikal.

“Di bawah dekri baru ini, institusi yang mengeluarkan lesen dan mengiktiraf pertubuhan sesebuah organisasi diberi hak untuk menarik semula lesen apabila organisasi tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan dalam permit itu,” katanya.

Wiranto berkata, peraturan ini juga bertujuan untuk melindungi perpaduan dan kewujudan Indonesia sebagai sebuah negara.

Walau bagaimanapun, langkah pembaharuan ini dibantah oleh segelintir kumpulan hak asasi manusia.

Human Rights Watch, kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, menganggap langkah itu sebagai tindakan yang menjejaskan hak kebebasan bersuara, walaupun ia disokong oleh kumpulan sederhana seperti Nahdlatul Ulama, organisasi Islam terbesar di Indonesia.

“Mengharamkan mana-mana organisasi atas dasar ideologi…adalah tindakan melampau yang menjejaskan hak kebebasan bersuara dan penglibatan dalam pertubuhan yang diperjuangkan oleh rakyat Indonesia sejak kediktatoran Suharto,” kata Andreas Harsono, penyelidik Indonesia bagi Human Rights Watch.

Sumber: SCMP, Borneo Post

 

Please follow and like us:
20

Comments

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial

Kongsikan ToodiaDotMy. Semua tentang belia ada di sini!Kami bukan sensasi tapi berinformasi.