#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Ambil Iktibar Daripada Referendum Brexit


 

Majoriti rakyat United Kingdom telah pun mengundi supaya negara tersebut keluar daripada Kesatuan Negara Eropah/European Union (EU) melalui satu referendum bersejarah yang dinamakan sebagai Brexit (Britain + Exit = Brexit) pada bulan Jun tahun lepas.

Tiada siapa yang menjangkakan keputusan ini, termasuk Perdana Menteri pada waktu itu, David Cameron yang kemudian meletak jawatan pada bulan Oktober.

Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana ingin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan mempertahankan kempennya untuk mengekalkan kedudukan United kingdom dalam EU.

Bekas Perdana Menteri Britain, David Cameron – Sumber: www.itv.com

Apakah pengajaran yang boleh diambil melalui kejadian bersejarah ini?

Pertama sekali, ramai dikalangan pengundi yang memilih supaya Britain keluar daripada kesatuan itu mula menyesal akan keputusan mereka.

Berdasarkan laporan media, ‘pengundi keluar’ (pengundi yang inginkan UK keluar dari EU) menyangkakan bahawa undian mereka tidak akan membuat sebarang perubahan dan kemenangan akan tetap berpihak kepada ‘pengundi kekal’ (pengundi yang inginkan UK kekal dalam EU).

Kini, berhadapan dengan realiti dan ketidaktentuan Brexit, sesetengah daripada mereka telah meluahkan rasa menyesal terhadap undian mereka.

Belia yang ingin supaya Britain kekal dalam EU – Sumber: news.nationalpost.com

Selain itu, kebanyakan orang muda juga merasakan seperti mereka telah ‘dikhianati’ oleh pengundi yang sudah berumur.

Mereka berpendapat bahawa ramai pengundi lebih tua memilih supaya UK keluar daripada EU, manakala pengundi muda pula mengundi supaya UK kekal.

Seorang pemuda bernama Nicholas Barrett, telah membuat satu kenyataan viral yang berbunyi; “Kedua, generasi muda telah kehilangan hak untuk hidup dan bekerja di 27 buah negara lain.

Nicholas Barrett – Sumber: www.theglobeandmail.com

“Kita tidak akan dapat tahu sepenuhnya tentang peluang yang telah hilang, persahabatan, perkahwinan dan pengalaman yang akan ditolak.

“Kebebasan untuk bergerak telah diambil oleh ibu bapa kita, bapa saudara, serta datuk dan nenek melalui satu ‘tamparan perpisahan’ yang sudah lemas dalam hutang-hutang yang mendahului kita,” kata Nicholas.

Golongan belia di UK telah menggunakan media sosial sebagai platform untuk meluahkan kemarahan, kesedihan dan kekecewaan mereka terhadap keputusan tersebut.

Ada juga yang telah turun ke parlimen UK untuk membantah keputusan itu, dengan memberi pandangan bahawa umur untuk mengundi patut diturunkan kepada 16 tahun daripada 18.

Bantahan Brexit oleh belia di luar parlimen pada tahun lepas – Sumber: thenewdaily.com.au

Berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan pada hari referendum tersebut, keputusan menunjukkan bahawa majoriti (75%) daripada pengundi belia berumur 18 hingga 24 tahun memilih supaya UK kekal dalam EU, manakala 52% daripada keseluruhan rakyat UK memilih sebaliknya.

“Mereka (belia) telah mengundi untuk masa depan, tetapi ia (masa depan) telah diambil oleh mereka,” kata Tim Farron, Ketua Parti Liberal Demokrat.

Tim Farron, Ketua Parti Liberal Demokrat – Sumber: www.express.co.uk

Tetapi malangnya, satu kajian juga telah menunjukkan bahawa masih ramai lagi pengundi belia berdaftar (22%) yang tidak keluar untuk mengundi, manakala 65% yang inginkan supaya UK kekal dalam EU tidak sempat untuk berdaftar.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengambil iktibar dan tauladan daripada referendum ini.

Pertama sekali, jangan sesekali mengganggap bahawa undian anda tidak membawa sebarang makna. Sentiasa ingat bahawa setiap undian itu amat berharga dan mampu membawa perubahan besar.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: thecityinfluencer.com

Lebih penting lagi, golongan muda di Malaysia dinasihatkan supaya tidak ambil remeh tentang pilihan raya kerana kuasa pemilihan berada di tangan anda.

Jika anda tidak berdaftar sebagai pengundi dan tidak mengundi, itu bermakna anda ‘menyerahkan sepenuhnya’ masa depan anda di tangan generasi lebih tua.

Sekiranya anda menganggap politik itu sebagai sesuatu yang tidak penting, anda akan mula tersedar pada satu hari nanti bahawa negara anda sedang menuju ke arah masa depan yang tidak akan anda sukai.

Sumber: The Star

Artikel Berkaitan