#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Apa Itu Syarikat Fin Tech?


 

Bank Negara telah meluluskan permohonan empat firma untuk beroperasi dalam kawalan peraturannya. Hal ini menandakan satu peristiwa penting dalam pertumbuhan teknologi kewangan (Fin Tech) di Malaysia.

Apa Itu Fin Tech?
FinTech (financial technologies) atau di dalam Bahasa Melayu ialah teknologi kewangan. Definisi yang lebih luas ialah bermaksud teknologi yang digunakan dan diaplikasikan dalam sektor perkhidmatan kewangan, terutamanya oleh institusi kewangan itu sendiri.

toodia_fintech

Bank Negara telah menerima permintaan mereka yang ingin mencipta cara inovatif untuk meningkatkan kualiti, kecekapan dan akses kepada perkhidmatan kewangan di Malaysia pada tahun lepas. Ia juga menyaksikan bank pusat mewujudkan unit yang dikenali sebagai Financial Technology Enabler Group (FTEG) yang akan mengawalselia kemasukan inovasi teknologi dalam perkhidmatan kewangan.

Syarikat-syarikat yang beroperasi di bawah payung ini akan dibenarkan untuk melancarkan perkhidmatan mereka secara komersil namun dalam had yang telah ditetapkan oleh bank pusat serta di bawah pengawasan rapi pihak tersebut.

Laman web FTEG mempamerkan nama empat peserta yang diluluskan bawah kawalan ini, yang meliputi syarikat-syarikat dalam bidang insurans dan pemindahan wang- merupakan bidang yang hangat dikejar oleh syarikat-syarikat baru FinTech di peringkat global.

GoBear Ltd dan GetCover Sdn Bhd, kedua-dua syarikat ini digambarkan sebagai penasihat kewangan dan agregator insurans manakala WorldRemit Ltd dan MoneyMatch Sdn Bhd masing-masing dibenarkan untuk menjalankan perkhidmatan pengiriman dan pengurupan mata wang.

Fintech berbeza daripada inovasi teknologi lain kerana ia beroperasi dalam ruang yang dikawalselia dengan sangat ketat. Dalam erti kata lain, tanpa kelulusan daripada badan-badan yang berkaitan, penyelesaian kewangan yang inovatif mungkin tidak dibenarkan untuk beroperasi dalam pasaran-pasaran tersebut.

Namun begitu, standard pengawalseliaan adalah berbeza di setiap negara walaupun terdapat usaha oleh beberapa badan-badan serantau untuk menyeragamkan semua peraturan.

Menariknya, dua daripada empat syarikat yang mendapat tempat dalam payung Bank Negara adalah entiti milik asing – iaitu syarikat GoBear dan WorldRemit. Manakala GetCover dan MoneyMatch adalah syarikat milik Malaysia.

GoBear
GoBear dimiliki oleh pelabur Belanda yang ingin mewujudkan laman web perbandingan secara bebas antara produk insurans dan kewangan di Asia. Ia beroperasi di Singapura, Thailand dan Malaysia serta merancang untuk masuk ke Filipina, Vietnam dan Indonesia.

Get Cover
GetCover akan menawarkan aplikasi mudah alih percuma yang membolehkan pengguna membeli insurans motor terus daripada syarikat insurans. Ia diramalkan merupakan produk pertama seumpamanya di pasaran. Matlamat GetCover adalah untuk memanfaatkan kecekapan saluran pengedaran digital untuk memberi manfaat kepada pengguna-pengguna di peringkat akhir.

toodia_getcover

Ia membolehkan pengguna mengkaji produk-produk insurans yang terdapat di pasaran dan supaya pembekal boleh menyelaraskan operasi dan menjimatkan kos pengedaran.

Paul Khoo, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GetCover telah dipetik oleh pihak media, mengatakan bahawa kelihatannya hanya terdapat sedikit inovasi dalam bidang insurans pemotoran global dan hanya sebilangan kecil pengguna kini membeli insurans motor dalam talian.

Menurut Khoo, GetCover bercadang untuk menyediakan platform transaksi automatik sepenuhnya yang akan mengurangkan kos dan memberikan pengguna lebih penjimatan. Menurut beliau lagi, penglibatan GetCover dalam usahasama strategik, akan membolehkan data yang relevan diekstrak, apabila pengguna memasukkan maklumat asas mereka bagi melancarkan lagi proses pembelian produk insurans oleh pengguna.

Money Match
MoneyMatch ialah syarikat tempatan yang menyediakan kiriman wang merentasi sempadan dan perkhidmatan pertukaran matawang. MoneyMatch sedang mewujudkan platform sendiri dalam memadankan individu pembeli dan penjual mata wang. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan pasaran perniagaan kecil dan sederhana (SME) yang banyak melakukan pemindahan wang merentasi sempadan dalam urusan perniagaan.

toodia_moneymatch

 

World Remit
WorldRemit telah dimulakan oleh usahawan yang asalnya seorang pelarian, Ismail Ahmed dan sehingga kini telah mengumpul lebih daripada US $ 145mil (RM620mil) dalam pembiayaan dan syarikat itu membantu pekerja asing terutamanya menghantar wang tunai kepada 142 negara.

Firma yang berpangkalan di London itu dilaporkan bernilai US $ 500mil (RM2.1 bilion) dalam pusingan pembiayaan terbarunya.

WorldRemit merupakan salah sebuah antara pelbagai syarikat pengiriman wang – termasuk penyandang utama, seperti Western Union dan syarikat baru dan pantas berkembang seperti dirinya dan TransferWise – yang sedang bersaing untuk menguasai pasaran penghantaran wang global. Bank Dunia menganggarkan syarikat ini bernilai sebanyak US $ 610bil (RM2.6 trilion) pada tahun 2016.

Sumber: The Star & Forbes

Artikel Berkaitan