#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Model Era Baru Ubah Persepsi “Cantik”


 

Selepas berdekad-dekad cantik  diberi makna sebagai muda, putih dan kurus, industri fesyen akhirnya memilih untuk akur dengan pilihan pengguna yang mahukan perubahan dalam definisi cantik.

Perubahan ini bukanlah kali pertama dilakukan tetapi kali ini ia dilakukan dalam skala yang lebih besar. Dengan kemunculan model era baru yang berjalan dipentas peragaan memakai jenama popular, landskap pemodelan dilihat telah beralih terutamanya dalam industri fesyen sekaligus mengubah definisi cantik.

Realitinya adalah bahawa pelanggan atau pengguna datang dalam pelbagai bentuk, saiz, warna kulit, ketinggian dan berat badan, telah menyebabkan mereka mahu identiti ini turut diberi peluang dalam dunia pemodelan.

Ini adalah antara model era baru yang merevolusikan dunia peragaan dan menarik lebih ramai pengguna dengan mendefinisi semula makna cantik.

Winnie Harlow: Supermodel Vitiligo

Image result for winnie harlow

Model Kanada dan aktivis, Winnie Harlow,22, mengalami vitiligo, keadaan kulit yang menyebabkan warna kulit hilang semenjak umur empat tahun. Seorang mangsa buli zaman kanak-kanak, Harlow ditemui di Instagram oleh pengacara America’s Next Top Model, Tyra Banks dan menjadi salah seorang finalis dalam ANTM 2014. Selepas itu, Harlow menjadi model untuk jenama Sepanyol, Desigual, Diesel, Swarovski dan H&M. Pada tahun 2014 Harlow memperagakan jenama Ashish di Minggu Fesyen London dan telah muncul dalam pelbagai majalah fesyen seperti Vogue, Glamour dan Cosmopolitan.

James Charles: Duta Lelaki Jenama Kecantikan

Image result for james charles

Pada Oktober 2016, jenama kosmetik Amerika Syarikat berusia 58 tahun, Covergirl mengumumkan pelantikan bintang media sosial dan jurusolek  artis, James Charles, 17, sebagai jurucakap lelaki pertama jenama itu. Charles mempunyai 1.6 juta pengikut di Instagram dan lebih 879,000 pelanggan kepada saluran tutorial mekap YouTube beliau. Jenama kecantikan itu berkata, semua orang adalah model dan berhak mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan cantik melalui cara tersendiri.

Wang Deshun: Model Warga Emas

Related image

Gambar pelakon cina Wang Deshun,81, di telefon bimbit anak perempuannya telah menempatkan Wang di pentas peragaan Minggu Fesyen Beijing. Anaknya, QQ, adalah komposer muzik untuk persembahan Pereka fesyen China, Hu Sheguang dan apabila Hu melihat gambar badan Wang yang berotot, dia meminta Wang mewakili persembahan fesyennya. Video Wang berjalan di pentas peragaan menjadi viral sekaligus menjadikannya “datuk paling hot China”. Wang juga menjadi duta terkini jenama Reebok.

Madeline Stuart: Model Profesional Sindrom Down

Image result for madeline stuart

Dilahirkan di Brisbane, Stuart, 20, telah berjalan di Minggu Fesyen New York sebanyak dua kali. Berambut perang dan bermata biru, Stuart mahu menjadi model selepas melihat pertunjukan fesyen di Brisbane dengan ibunya pada tahun 2014. Stuart telah berjalan di Minggu Fesyen Mercedes Benz China, Minggu Fesyen Birmingham, Runway Dubai dan banyak lagi. Antara jenama yang pernah diperagakan Stuart termasuk VP Wow, Flat Tummy Tea, EverMaya, Manifesta, GlossiGirl, Michael Todd dan Laceez. Tahun ini Stuart melancarkan label fesyen sendiri ,21 Reasons Why by Madeline Stuart.

Shaun Ross: Model Profesional Albino

Image result for shaun ross

Dilahirkan di Bronx, New York, model Afrika-Amerika, pelakon dan penari, Shaun Ross, 25, menghadapi diskriminasi kerana albino. Pada usia 16 tahun, Ross telah mendaftar sebagai model dengan agensi peragaan di New York. Ross yang juga aktivis anti-buli telah muncul dalam majalah fesyen utama, dipaparkan dalam kempen dan mucul di pentas peragaan pereka terkemuka Amerika Syarikat dan di peringkat antarabangsa. Beliau memulakan pergerakan “In My Skin I Win” untuk menggalakkan individu belajar menerima diri sendiri.

Ashley Graham: Model Bersaiz Besar

Image result for ashley graham

Tahun ini, model Amerika, Ashley Graham, 29, menjadi model bersaiz besar yang pertama untuk muncul di majalah Vogue. Pada 2016, Graham adalah model pertama bersaiz besar yang muncul di muka depan majalah Sports Illustrated. Dilahirkan di Nebraska, Graham telah ditemui di sebuah pusat membeli-belah pada usia 13. Beliau telah muncul sebagai model bersaiz besar untuk pelbagai jenama fesyen dan iklan dan pada tahun 2012 beliau telah dinamakan sebagai Model of The Year.

Andreja Pejic: Supermodel Transgender

Related image

Dilahirkan di Yugoslavia, model Australia, Andreja Pejic, 25, yang dikenali sebagai supermodel khunsa pertama, telah ditemui di Melbourne ketika berusia 16 tahun. Kebolehannya untuk memperagakan kedua-dua pakaian feminin dan maskulin telah memberinya kelebihan. Pejic telah menghiasi muka depan majalah antarabangsa Elle, L’Officiel, Fashion dan GQ. Selepas menjalani pembedahan penukaran jantina pada tahun 2013, beliau menjadi model transgender yang pertama. Pada tahun 2015, Pejic adalah wanita transgender pertama yang menjadi duta jenama kecantikan Amerika, Make Up For Ever.

 

Sumber: Star2.com

Artikel Berkaitan