#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Merokok Menyebabkan 1 Daripada 10 Kematian Di Seluruh Dunia: 6.4 Juta Maut Setiap Tahun


 

Saintis memberi amaran, satu daripada sepuluh kematian di seluruh dunia adalah disebabkan tabiat menghisap rokok.

Diketahui umum bahawa ia boleh menyebabkan penyakit jantung dan kanser paru-paru, sebuah hasil kajian menunjukkan tabiat buruk itu telah membunuh seramai 6.4 juta orang pada tahun lepas. Lebih daripada separuh jumlah kematian itu sahaja berlaku di keempat-empat buah negara ini- China, India, Amerika Syarikat dan Rusia.

Ini menjadikan ia pembunuh kedua terbesar di planet ini, menurut hasil kajian dalam jurnal perubatan berprestij, The Lancet.

Ramalan Kadar Kematian Akibat Tabiat Merokok

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telahpun menganggarkan bahawa rokok akan membunuh satu bilion orang dalam tempoh 100 tahun ini. Namun begitu, pakar-pakar dari Universiti Washington yang terletak di Seattle, memberi amaran bahawa kadar kematian tersebut  boleh mengalami peningkatan yang jauh lebih besar akibat syarikat-syarikat tembakau utama yang sentiasa mencari pasaran baru di negara-negara membangun.

Penyelidik kajian tersebut,  Dr Emmanuela Gakidou memberitahu AFP: “Malangnya, semua kematian tersebut sebenarnya boleh dicegah.

Kawalan Ke Atas Tembakau Menjadi Keutamaan Segera

Profesor John Britton, Pengarah Pusat Pengajian Tembakau di United Kingdom, berkata “perang ke atas tembakau masih belum berakhir”.

Tambah beliau lagi: kini, wabak akibat tabiat merokok itu telah dibawa masuk dari negara-negara kaya ke negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana, tersorok di bawah perkara-perkara yang kelihatan lebih penting dan memerlukan perhatian segera serta memerlukan sumber manusia dan keewangan yang sememangnya tidak mencukupi.

Hal ini akan menyebabkan wabak kematian akibat tembakau meningkat secara berterusan di seluruh dunia. Perkara ini boleh dihentikan jika kawalan ke atas tembakau diiktiraf sebagai sebuah keutamaan segera untuk pembangunan, pelaburan, dan penyelidikan.

Berikut menunjukkan senarai negara-negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi akibat tabiat merokok.

d

Hasil kajian yang dilakukan oleh  Universiti Washington pada tahun 2015 menunjukkan China menduduki tempat pertama dengan  1.8 million kematian, diikuti dengan India (743 000 kematian), Amerika Syarikat (472 000 kematian) dan di tempat keempat Rusia dengan 283000 kematian.

Hasil Kajian dan Statistik

Penyelidik-penyelidik  dari University of Washington telah menilai kebiasaan tabiat merokok setiap hari di 195 negara. Antara hasil kajian mereka adalah:

  • Walaupun satu daripada empat lelaki masih merokok setiap hari, mereka dapati kadar ini telah menurun sebanyak 28 peratus di antara tahun 1990 sehingga 2015.
  • Satu daripada 20 orang wanita juga didapati menghisap rokok setiap hari, namun begitu terdapat penurunan sebanyak 34 peratus semenjak penyelidikan ini bermula.
  • Walaupun kadar tabiat merokok telah mengalami kejatuhan, namun jumlah mereka yang merokok setiap hari terus meningkat di seluruh dunia disebabkan oleh pertumbuhan penduduk yang pesat.
  • Lebih daripada 930 juta orang menghisap rokok setiap hari pada tahun 2015, berbanding hanya 870 juta orang pada tahun 1990 – ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak tujuh peratus dari tahun 1990 hingga 2015.

Menurut Dr Emmanuela Gakidou, ‘usaha kawalan tembakau yang mantap telah mencapai banyak kemajuan dalam mengurangkan tabiat merokok yang boleh membawa maut bagi sebahagian besar populasi dunia, namun begitu, sebenarnya banyak lagi usaha yang boleh dilakukan.

‘Pertumbuhan kadar perokok harian sahaja melebihi kadar pengurangan perokok harian,  hal ini menunjukkan terdapat keperluan untuk mengelakkan lebih ramai orang daripada memulakan tabiat menghisap rokok  dan untuk menggalakkan perokok untuk menghentikan tabiat tersebut.

Sumber: Dailymail

Artikel Berkaitan