#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Wanita Belia Muslim Menang Pilihan Raya AS 2016


 

Rajin dan berkeyakinan tinggi, seorang wanita muda Muslim di Amerika Syarikat telah menceburi arena politik apabila beliau melibatkan diri secara langsung dalam pilihan raya di pinggir bandar Maryland.

Raheela Ahmed yang kini berusia 23 tahun, merupakan salah seorang daripada anak imigran yang menetap di sana, dan beliau berhasrat untuk menangani retorik anti-Islam yang sering dibangkitkan dalam kempen pemimpin seperti Donald Trump, dalam Pilihan Raya Presiden 2016 yang lalu.

Pada bulan November lepas, beliau telah dilantik menjadi Lembaga Pendidikan Daerah Prince George, Maryland selepas menewaskan penyandang yang telah lama memegang jawatan itu, dengan 15% perbezaan undian.

“Sekiranya pandangan Donald Trump adalah gambaran sebenar kepercayaan warga Amerika, saya tidak akan memenangi pilihan raya ini dengan besar.

“Daerah saya mempunyai kira-kira 56,000 pengundi dan orang Islam adalah kurang daripada 1% daripada jumlah itu,” kata Raheela kepada Press Trust of India.

Ujarnya lagi, Trump boleh terus membuat kenyataan yang keterlaluan dan menyakitkan hati atas sebab-sebab politik, tetapi beliau mempercayai bahawa kepelbagaian Amerika menjadi kekuatan rakyat.

Kemenangan Raheela dalam pilihan raya itu juga menjadikan beliau warga Amerika berketurunan India Muslim yang pertama untuk memegang jawatan itu dalam sejarah daerah Maryland.

“Ia menarik kerana pada hari yang sama Donald Trump dilantik menjadi Presiden AS, Saya sebagai seorang wanita Muslim muda yang memakai hijab juga dilantik untuk berkhidmat dalam pejabat awam,” katanya.

Beliau juga mempercayai bahawa tiada satu pun agama di dunia ini yang mengajar penganutnya untuk melakukan sebarang bentuk keganasan.

“Majoriti umat Islam adalah orang-orang yang aman. Perkataan ‘Islam’ itu sendiri membawa makna keamanan,” kata beliau sambil menambah bahawa pengganas yang kononnya bertindak atas nama Islam telah terpesong daripada pehamaman akidah mereka.

Raheela turut menegaskan bahawa tindakan Trump dalam menyerang identiti orang lain seperti jantina, etnik dan kepercayaan hanya memecah-belahkan rakyat Amerika.

“Kekuatan datang daripada perpaduan, kerjasama, kepercayaan dan persefahaman,” katanya.

Sumber: Times of India, The American Bazaar

Artikel Berkaitan