#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Presiden Korea Selatan Lantik Menteri Luar Wanita Pertama


 

Semalam (Ahad), Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in telah melantik seorang diplomat veteran, Kang Kyung-hwa, sebagai Menteri Luar wanita pertama dalam sejarah negara itu.

Memetik laporan South China Morning Post, veteran berusia 62 tahun itu kini ditugaskan untuk meredakan ketegangan dalam isu nuklear Korea Utara.

Sebelum ini, Kyung-hwa pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia dan Penolong Setiausaha-Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan sebelum menjadi penasihat dasar kanan kepada ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada tahun ini.

Kang Kyung-hwa, wanita pertama dilantik menjadi Menteri Luar di Korea Selatan – Sumber: www.koreapost.com

Pelantikannya sebagai Menteri Luar pula berlaku kurang daripada dua minggu sebelum lawatan pertama Moon ke sidang kemuncak di Amerika Syarikat bersama Presiden Donald Trump memandangkan kebimbangan terhadap program nuklear Pyongyang semakin meningkat.

Sebelum ini juga, Kyung-hwa sudah lama berkhidmat di Kementerian Luar Korea Selatan sebelum beliau menyertai PBB.

Menurut pejabat Moon, pengalaman diplomatiknya akan membantu Korea Selatan menangani isu sensitif bersama sekutu dan negara jiran mereka.

Seorang ahli politik berhaluan kiri, Moon dipilih menjadi presiden selepas bekas pemimpin, Park Geun-hye dipecat dan didakwa kerana skandal rasuahnya.

1053450112

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in – Sumber: sputniknews.com

Tidak seperti pemimpin-pemimpin konservatif sebelum ini yang berpendirian tegas terhadap Korea Utara, presiden Moon menganjurkan satu sesi dialog bersama negara itu untuk mengadakan perundingan secara aman.

Walau bagaimanapun, hubungan Korea Selatan bersama AS dan China turut menjadi tegang sejak kebelakangan ini ekoran penempatan sistem anti-peluru berpandu AS di negara itu, yang dilihat sebagai ‘ancaman’ oleh China.

Di bawah pemerintahan Geun-hye sebelum ini, beliau bersetuju untuk memasang sistem Terminal High-Altitude Area Defence (THAAD) tersebut untuk berlindung dari ancaman Korea Utara.

Penjelasan THAAD – Sumber: elearningexamples.com

Tetapi, Korea Utara mempunyai hubungan diplomatik bersama China, dan China kemudian mengenakan sekatan ekonomi terhadap perniagaan Korea Selatan pada bulan April tahun ini.

Walaupun sebahagian daripada sistem THAAD telah dipasang, pentadbiran presiden Moon pula kemudian menggantung pemasangan selanjutnya dan langkah itu memberi tamparan hebat kepada dasar keselamatan AS.

Pada tahun ini sahaja, Korea Utara dilihat semakin aktif melancarkan peluru berpandunya tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa.

Tindakan itu juga telah menyebabkan PBB mengenakan sekatan lebih ketat terhadap negara itu.

Sumber: South China Morning Post

Artikel Berkaitan