#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Macron Menang Besar Pilihan Raya Parlimen Perancis


 

En Marche! (LREM), parti pimpinan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang baru sahaja diwujudkan tahun lepas, telah menang besar dalam Pilihan Raya Parlimen apabila memenangi 300 daripada 577 kerusi.

Ia merupakan tamparan hebat bagi parti Sosialis dan konservatif yang sebelum ini menguasai parlimen selama beberapa dekad, tetapi ditewaskan oleh parti yang masih dianggap ‘mentah’.

Selain itu, kemenangan ini memberi Macron satu mandat yang amat kukuh untuk melakukan pembaharuan dalam arena politik negara itu.

Setakat ini, keputusan rasmi menunjukkan bahawa masih terdapat 90 kerusi yang belum lagi diisytiharkan pemenangnya, tetapi LREM telah pun memenangi majoriti untuk menguasai parlimen.

Malah, berdasarkan beberapa tinjauan pendapat, parti beliau dijangka akan memperoleh 355 hingga 365 kerusi selepas keputusan akhir dikeluarkan nanti.

Dalam pada itu, puak Republikan konservatif dan sekutu-sekutunya diramalkan akan menubuhkan blok pembangkang yang terbesar dengan 125 hingga 131 kerusi.

Bagi parti Sosialis (parti pemerintah 5 tahun lalu) dan sekutunya pula, mereka dijangka hanya akan mengawal 41 hingga 49 kerusi, iaitu yang terendah sejak mereka pernah peroleh selepas Republik Kelima Perancis.

“Ini adalah peluang untuk Perancis. Setahun yang lalu tiada sesiapa dapat membayangkan pembaharuan politik seperti ini,” kata Perdana Menteri, Edouard Philippe dalam satu kenyataan.

Tetapi, peratusan rakyat yang keluar mengundi berada pada paras yang rendah dan mengecewakan, iaitu hanya 42%.

Walau bagaimanapun, kemenangan ini memberi peluang kepada Macron, seorang ahli politik berhaluan sederhana dan pro-Kesatuan Eropah, untuk menunaikan segala janjinya ketika berkempen dan ‘membersihkan’ keadaan politik di Perancis.

Sumber: Reuters

Artikel Berkaitan