#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


65% Pekerjaan Mungkin Akan Hilang Dalam 30 Tahun


 

Salah satu perkara utama yang diberi perhatian dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah bagaimana untuk memastikan generasi muda bersedia untuk pekerjaan pada masa hadapan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, hampir 65% pekerjaan sedia ada mungkin akan hilang atau menjadi tidak relevan lagi dalam tempoh 30 tahun atau lebih.

Ini termasuk pelbagai pekerjaan pembinaan, perkilangan dan juga pentadbiran, di mana robot akan mula menggantikan tempat buruh kasar suatu hari nanti.

Oleh itu, Khairy menegaskan bahawa ia amat penting bagi generasi muda untuk mempunyai kemahiran yang betul sebagai persediaan menceburi bidang pekerjaan masa akan datang.

“Mempunyai kemahiran yang betul untuk generasi muda adalah satu kepentingan yang besar.

“Kita perlu memastikan sistem pendidikan dan latihan kita mencukupi untuk pekerjaan pada masa hadapan,” kata beliau.

Selain itu, Khairy menyatakan bahawa pada masa kini, Malaysia terlalu bergantung kepada buruh asing berkemahiran rendah dalam bidang automasi dan robot.

“Melangkah kehadapan, dalam inisiatif TN50, kita perlu melihat tempat-tempat untuk melabur dalam mekanisasi, automasi, dan robotik,” ujarnya.

Tegas beliau, negara perlu mengembangkan tahap produktiviti dan beralih daripada sektor berintensif buruh.

“Dalam TN50, kita sedang melihat pada pekerjaan berpotensi untuk masa depan. Kita perlu memperbaiki sistem pendidikan untuk bersedia bagi masa hadapan,” tambahnya lagi.

Khairy berkata, generasi masa kini perlu mula melihat pekerjaan dalam bidang robotik dan data sains, dan jangan mengehadkan cita-cita hanya untuk menjadi doktor dan peguam

Dalam pada itu, Forum Ekonomi Dunia juga telah menyatakan bahawa sistem pendidikan dunia gagal untuk menyediakan pekerjaan bagi generasi muda pada masa akan datang.

Berdasarkan laporannya, Realizing Human Potential in the Fourth Industrial Revolution, teknologi dan globalisasi sedang mencipta pekerjaan baharu dan membuang pekerjaan yang lama.

Kebanyakan sistem pendidikan yang ada pada hari ini juga adalah berlandaskan model lama yang diwujudkan lebih daripada satu abad lalu.

Menurut Khairy, dokumen dasar TN50 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada bulan September tahun 2018.

“Kami sedang mencari cara untuk korporat agar terlibat dalam TN50,” katanya sambil menambah bahawa penglibatan itu bukan hanya dari segi perbincangan, tetapi ia termasuk perkhidmatan yang boleh membantu untuk mempercepatkan aspirasi TN50.

Selain itu, beberapa idea daripada perbincangan TN50 juga mungkin akan diumumkan di bawah Bajet 2018 nanti.

“Kita perlu menjangka masa depan, dan pelbagai negara telah mula membuat pelbagai pelaburan dalam teknologi yang kita tidak lakukan,” katanya.

Sumber: The Star

Artikel Berkaitan