#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Pastikan Si Manja Anda Raya Bergaya!


 

Aidilfitri kian hampir! Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut hari lebaran dan sudah semestinya pelbagai persiapan sudah dilakukan. Dalam menyediakan kelengkapan raya untuk diri sendiri, pemilik-pemilik kucing juga tidak lupa untuk menggayakan haiwan peliharaan mereka.

Trend terkini, pemilik-pemilik kucing akan menggayakan haiwan kesayangan mereka dengan persalinan baju raya. Ia bukanlah sesuatu yang janggal kerana persalinan itu ditawarkan untuk pemilik kucing bagi digayakan si manja kesayangan mereka pada Aidilfitri nanti.

Pemilik Meowku Enterprise, Nur Athirah Ahmad, 25 dan rakannya Mohammad Affin Aizat Anuar, 28, yang beroperasi di Setapak, Kuala Lumpur menawarkan pilihan baju raya itu sejak 1 Ramadan lalu dan menjualnya secara dalam talian atau membayar tunai ketika penghantaran.

Menurut Nur Athirah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi UNISEL, dia pada mulanya memuat naik gambar songkok khas untuk kucing pada hari pertama berpuasa di Instagram dan akaun Facebook Meowku.

“Kami menyediakan baju raya dan 150 songkok yang boleh di ubahsuai saiz sebulan sebelum Ramadan lagi. Apabila saya muat naik gambar songkok kucing, banyak permintaan yang diterima dan ia laris dijual dalam masa sehari saja.”

Permintaan baju raya kucing bukan saja diterima di Malaysia, malah ada juga tempahan dari Singapura, Brunei dan Australia.

C793

Sementara itu, Mohammad Affin berkata, dia menghasilkan baju itu dalam tiga jenis saiz serta pelbagai rekaan untuk kucing jantan dan betina.

Antara baju raya kucing yang dijual adalah kurta, baju Melayu, baju kurung dan blaus ‘peplum’ yang boleh disesuaikan dengan 40 warna mengikut citarasa pelanggan.

Berdasarkan ukuran yang diperolehi tahun lepas, Meowku menghasilkan saiz S untuk kucing usia kurang dari enam bulan, M untuk kucing lebih setahun dan L kucing bersaiz besar.

Harga setiap baju raya kucing dijual bermula dari RM32 hingga RM45 manakala songkok kucing berharga RM10.

Sepanjang bulan Ramadan, lebih 400 pasang baju telah dijual. Bagi anda yang berminat untuk menggayakan si manja anda di Aidilfitri ini, kunjungi laman Facebook rasmi Meowku Shop.

Sumber: harianmetro

Artikel Berkaitan