#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Ketua Pengganas IS Terbunuh?


 

Kementerian Pertahanan Rusia pada hari ini menyatakan bahawa mereka sedang memeriksa maklumat mengenai serangan udara Rusia di bandar Raqa, Syria, yang mungkin telah membunuh ketua pengganas IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

Menurut kenyataan kementerian itu, serangan udara itu dilancarkan selepas pasukan tentera Rusia di Syria menerima maklumat risikan berhubung rancangan perjumpaan pemimpin-pemimpin IS.

“Pada 28 Mei, selepas dron digunakan untuk mengesahkan maklumat di lokasi dan waktu perjumpaan pemimpin IS, antara 00:35 dan 00:45, tentera udara Rusia melancarkan serangan terhadap pusat arahan, di¬†lokasi pemimpin IS,” kata kenyataan tersebut.

Ujar kementerian itu lagi, berdasarkan maklumat yang disemak menerusi pelbagai saluran, aghdadi turut terbunuh dalam serangan itu.

Walau bagaimanapun, gabungan tentera yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) tidak dapat memastikan laporan Rusia mengenai kemungkinan Baghdadi dibunuh.

Serangan itu dipercayai telah membunuh beberapa anggota kanan kumpulan itu, termasuk 30 komander dan 300 pengawal peribadi mereka.

Kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia itu juga menjelaskan bahawa tujuan pemimpin-pemimpin IS berkumpul di pusat arahan di selatan pinggir bandar Raqqa, untuk mencari jalan melarikan diri daripada bandar itu.

AS juga telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai lokasi dan waktu serangan itu.

Memetik laporan Reuters, pengganas IS semakin hilang kuasa di dua kubu kuat mereka di Mosul, Iraq dan Raqqa, Syria.

Dalam rakaman video terakhir Baghdadi, beliau dilihat memakai jubah hitam sambil mengiktiraf dirinya sebagai khalifah di tempat memberi khutbah di masjid al-Nuri di Iraq pada tahun 2014.

Dilahirkan dengan nama Ibrahim al-Samarrai, Baghdadi yang berusia 46 tahun telah berpecah dengan Al-Qaeda, dua tahun selepas tangkapan dan pembunuhan Osama Bin Laden.

Tetapi, pengarah Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdulrahman, meluahkan keraguannya terhadap berita kematian Baghdadi.

Berdasarkan maklumat beliau, Baghdadi dilaporkan berada di bahagian lain Syria pada hujung bulan Mei lalu.

Sumber: Reuters

 

 

 

 

Artikel Berkaitan