#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Kerana Brexit, Ramai Warga Britain Jadi Rakyat Jerman


 

Jumlah rakyat Britain yang menjadi warganegara Jerman meningkat sebanyak 361% (2,865 orang) pada tahun 2016 dalam perebutan mendapatkan dua kerakyatan sebelum Britain bercerai dengan Kesatuan Eropah (EU) menerusi Brexit.

Perkara tersebut disahkan oleh Pejabat Statistik Persekutuan Jerman pada hari Selasa baru-baru ini.

Ramai rakyat yang bimbang mengenai Brexit, di mana ia akan menyukarkan mereka untuk hidup dan bekerja di kesatuan itu pada masa akan datang.

Jumlah pemohon kerakyatan Jerman juga dijangka akan meningkat dengan lebih tinggi pada tahun ini memandangkan ia mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan pasport Jerman.

“Pautan dengan Brexit kelihatan jelas. Ini adalah tahap tertinggi rakyat Britain pernah mendaftar,” kata pejabat itu.

Memetik laporan Metro UK, Britain dijadualkan untuk meninggalkan EU pada tahun 2019, tetapi kegagalan Perdana Menteri Britain, Theresa May dalam pilihan raya umum baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai bentuk perjanjian apa yang akan dipersetujui.

Selain itu, Pejabat tersebut mendedahkan bahawa seramai 110,400 warga asing telah memohon kerakyatan Jerman pada tahun lepas, di mana majoriti daripada mereka adalah warga Britain.

Difahamkan, sesiapa yang telah menetap di Jerman selama 8 tahun atau berkahwin dengan rakyat negara itu selama 6 tahun layak mendapat kerakyatan.

Pemohon juga perlu membayar yuran sebanyak 250 euro serta mengambil ujian pengetahuan am dan bahasa Jerman.

Dalam pada itu, sesiapa yang boleh menunjuk bukti bahawa moyang mereka dibuang dari Jerman atau dibunuh oleh Nazi semasa Perang Dunia Kedua juga layak menerima kerakyatan dan tidak perlu mengambil sebarang ujian.

Di bawah undang-undang semasa, rakyat Britain boleh mengekalkan dua kerakyatan mereka walaupun selepas negara itu dijadualkan untuk keluar daripada EU pada 2019.

Menurut kebanyakan pemohon, tujuan utama mereka mengambil kerakyatan Jerman adalah untuk menjamin status mereka di dalam EU.

Kini, terdapat kira-kira 100,000 rakyat Britain yang sedang menetap di Jerman.

Sumber: Metro UK

Artikel Berkaitan