#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Facebook Banteras Keganasan Guna Teknologi AI


 

Facebook kini menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dalam usaha untuk menghalang kumpulan pengganas daripada menggunakan laman web mereka.

Dalam satu kenyataan, syarikat gergasi media sosial itu menyatakan bahawa AI digunakan untuk mencari dan membuang kandungan pengganas sebelum ia boleh dilihat oleh pengguna-pengguna lain.

Teknologi seperti ini turut digunakan untuk menyekat laman web lucah kanak-kanak, tetapi ia masih memerlukan pemantauan manusia kerana AI dan algoritma masih belum mencapai tahap kebijaksanaan manusia untuk memahami perbezaan bahasa dan kandungan.

Menurut laporan, salah satu teknik dalam sistem itu adalah padanan gambar – dengan mengenal pasti dan menyekat imej dan video pengganas daripada muncul semula di akaun pengguna lain.

Mereka juga akan mencari corak penggunaan bahasa dalam propaganda pengganas supaya ia dapat dikenal pasti dan dibuang dengan segera.

Facebook juga sedang membina “isyarat berbentuk teks” daripada bahan yang telah dibuang. Isyarat-isyarat ini akan diletakkan ke dalam sistem pembelajaran mesin dan ia akan dapat mengenal pasti pos yang sama dari semasa ke semasa.

Langkah ini mula dilaksanakan selepas pihak berkuasa menghubungi syarikat media sosial seperti Facebook untuk mengenal pasti dan membendung penyebaran propaganda dan kegiatan merekrut ahli baru pengganas di platform mereka.

Lebih daripada 150 orang, termasuk pakar counter-terrorism, bekas pendakwa raya, bekas penguatkuasa undang-undang, penganalisis dan juga jurutera telah diambil bekerja di Facebook khas untuk membanteras keganasan.

“Susulan serangan keganasan baru-baru ini, orang ramai telah mempersoalkan peranan syarikat teknologi dalam menentang keganasan secara onlien,” kata Monika Bickert, pengarah pengurusan dasar global Facebook.

Bickert berkata, beliau juga bersetuju dengan pandangan orang ramai bahawa media sosial tidak sepatutnya menjadi platform bagi pengganas untuk bersuara.

“Ia adalah satu cabaran besar untuk memastikan orang ramai selamat di platform yang digunakan oleh hampir 2 bilion pengguna setiap bulan, membuat pos dan komen dalam lebih 80 bahasa di setiap pelusuk dunia,” ujarnya lagi.

Selain itu, Facebook juga berikrar bahawa usaha anti-pengganas ini akan dikuatkuasakan terhadap platform lain yang dimiliki oleh syarikat itu seperti WhatsApp.

Sumber: Sky News, CBS News

Artikel Berkaitan