#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Britain: 66% Pengundi Belia Pilih Parti Buruh


 

Sebelum in, kelas sosial merupakan garis pemisah dalam politik Britain. Parti Konservatif berhaluan kanan adalah parti untuk golongan kelas pertengahan dan atasan manakala parti pembangkang Buruh berhaluan kiri adalah untuk golongan kelas bawah.

Namun, trend ini telah berubah dalam pilihan raya 2017 yang berlangsung pada minggu lepas, di mana faktor umur kini menjadi garisan pemisah yang baru.

Berdasarkan kajian syarikat tinjauan pendapat (poll) YouGov, 66% belia yang berusia 18 hingga 19 tahun telah mengundi parti pembangkang Buruh yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn manakala 69% pengundi berusia 70 tahun ke atas pula memilih Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Theresa May.

Data YouGov turut mendapati bahawa bagi usia setiap 10 tahun lebih tua seseorang pengundi itu, kecenderungan mereka untuk mengundi Konservatif meningkat sebanyak 9 mata manakala Buruh menurun 9 mata.

Menurut Ipsos MORI, syarikat yang melakukan tinjauan pendapat pada pilihan raya 1997, Britain pada zaman dahulu terpisah mengikut kelas sosial, tetapi sekarang terpisah mengikut generasi.

Bagaimana keadaan ini boleh berubah?

Memetik laporan Washington Post, parti Buruh pada tahun ini mengadakan kempen yang lebih celik media sosial dan juga berikrar untuk memansuhkan yuran pengajian universiti.

Langkah itu ternyata berkesan dalam menarik golongan muda untuk memilih parti itu berbanding Konservatif.

Konservatif sering kali cuba menjatuhkan Corbyn dengan membangkitkan isu lama, di mana beliau didakwa menyokong ideologi kumpulan pengganas Irish Republican Army (IRA).

Walau bagaimanapun, perkara itu tidak diendahkan oleh golongan muda kerana mereka tidak “melalui zaman itu”.

Tetapi, faktor utama yang mendorong pilihan belia adalah keputusan Britain untuk bercerai dengan Kesatuan Eropah (EU).

Majoriti pengundi muda telah membantah Brexit dalam referendum tahun lepas dan mereka mahu supaya Britain terus kekal dalam kesatuan itu.

Parti Konservatif yang diketuai oleh May adalah penyokong tegar Brexit dan rundingan penceraian itu bakal diadakan pada minggu hadapan.

Walaupun parti Buruh tidak berjanji untuk menarik semula keputusan Brexit, golongan belia tetap mengundi parti itu untuk ‘meluahkan perasaan kecewa’ mereka terhadap parti Konservatif.

Selain itu, Benjamin Lauderdale, seorang profesor daripada London School of Economics menyatakan bahawa kira-kira 30% rakyat berusia 25 tahun – 44 tahun yang mengundi Parti Konservatif pada pilihan raya sebelum ini dilihat telah berpaling tadah dan mengundi Parti Buruh.

Sumber: Washington Post

Artikel Berkaitan