#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


4 Negara ‘Berkonflik’ Bakal Anjur Piala Dunia FIFA 2030?


 

Korea Selatan berhasrat untuk menganjurkan Piala Dunia Fifa 2030 bersama Korea Utara, China dan Jepun untuk meredakan ketegangan serantau.

Seoul dan Pyongyang masih dibelenggu konflik yang berlarutan selama berdekad-dekad, Jepun tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik bersama Korea Utara, dan China pula adalah satu-satunya sekutu wilayah Korea Utara.

Walau bagaimanapun, China tidak mempunyai hubungan yang baik bersama Jepun.

Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) menyatakan bahawa mereka ingin mengadakan perbincangan bersama negara-negara jiran itu mengenai kemungkinan untuk menganjurkan acara dunia itu.

“Kami ingin memulakan perbincangan bersama China dan Jepun tentang idea ini,” kata jurucakap KFA.

Sementara itu, Presiden baharu negara itu, Moon Jae-In telah pun mencadangkan idea tersebut kepada President FIFA, Gianni Infantino pada hari Isnin, awal minggu ini.

“Sekiranya negara-negara Timur Asia, termasuk kedua-dua Korea, menganjurkan Piala Dunia, Saya rasa ini akan membantu membina keamanan di Semenanjung Korea dan juga di dalam rantau ini,” kata beliau.

Menurut satu kenyataan daripada Pejabat Presiden Korea Selatan, Rumah Biru, Infantino berkata, beliau akan membincangkan cadangan itu bersama Presiden China, Xi Jinping.

Presiden KFA, Chung Mong-Gyu juga mempercayai bahawa Korea Utara akan bersemangat untuk menganjurkan Piala Dunia itu jika negara-negara lain bersetuju.

Walau bagaimanapun, China dilaporkan ingin menjadi tuan rumah acara itu secara berseorangan, dan negara itu juga mungkin tidak berapa setuju untuk menyokong cadangan gabungan itu.

Setakat ini, Piala Dunia tidak pernah dianjurkan oleh 4 negara pada satu waktu, tetapi ia pernah dianjurkan bersama oleh Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002.

Sumber: Sky News

 

 

Artikel Berkaitan