#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Semakin Kaya, Semakin Tidak Sihat


 

Gaya hidup rakyat di India, terutamanya dari aspek pemakanan telah berubah dengan drastik susulan pertumbuhan ekonomi pesat lebih daripada dua dekad.

Ramai orang kerap pergi makan di luar dan lebih gemar menikmati makanan ringan barat seperti burger dan pizza berbanding makanan tradisional (kacang dal dan sayur-sayuran).

Mereka juga semakin kurang bersenam dan lebih aktif duduk di rumah menonton televisyen pada waktu lapang.

Perubahan gaya hidup ini menyebabkan penyakit seperti obesiti dan kencing manis (diabetes) meningkat dengan mendadak.

“Sejak 20 tahun lalu, kami menyaksikan ‘letupan besar’, terutamanya kerana obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat,” kata Dr. Monica Arora, seorang pakar daripada Yayasan Kesihatan Awam di negara itu.

obesity__diabetes_01

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.ilsbariatricsurgery.com

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, hampir 30% remaja India mengalami penyakit obesiti, iaitu hampir dua kali ganda pada tahun 2010.

Selain itu, seramai 70 juta rakyat India menderita penyakit diabetes, namun tiada data yang menunjukkan berapa ramai daripada jumlah itu adalah kanak-kanak.

Kemungkinan juga terdapat jutaan kes yang tidak didiagnosis kerana kekurangan kesedaran dalam kalangan penduduk luar bandar selain daripada kemudahan kesihatan awam yang tidak mencukupi.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa India bakal mencapai 120 juta kes diabetes, iaitu 10% daripada seluruh populasi negara itu pada lapan tahun yang akan datang.

Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), kes-kes tersebut membawa India kepada tahap yang hampir sama dengan Amerika Syarikat, di mana 9.3% populasi mengalami diabetes.

Pemeriksaan diabetes di India – Sumber: www.indiaspend.com

Bimbang dengan trend ini, kerajaan India berhasrat untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan terhadap lebih daripada 500 juta penduduk yang berusia 30 tahun ke atas untuk diabetes dan penyakit tidak berjangkit yang lain pada tahun 2019.

Menteri Kesihatan, Jagat Prakash Nadda berkata, pihak berkuasa juga bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berada dalam fasa pra-diabates.

Penyelidik perubatan mendapati bahawa rakyat India, secara genetik, lebih cenderung untuk mendapat penyakit diabetes dan majoriti pesakit datang dari keluarga yang kaya dan hidup di kawasan bandar.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: abcnews.go.com

Kebanyakan kes diabetes di India pula adalah Tahap 2, di mana ia kerap terjadi apabila berat badan berlebihan mengehadkan kebolehan badan untuk menghasilkan atau menggunakan insulin untuk mengubah makanan menjadi tenaga.

Penyakit ini juga, jika tidak diberi perhatian dan rawatan yang betul, boleh meningkatkan risiko pesakit untuk mengalami buta mata, potong anggota badan, kegagalan jantung/buah pinggang dan juga strok.

Oleh itu, pakar kesihatan mencadangkan supaya rakyat di negara itu mengamalkan diet yang sihat serta menggesa ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka melakukan aktiviti luar.

Persatuan Perubatan India menyatakan bahawa penduduk di New Delhi pada masa kini memakan kira-kira 20% lebih lemak dan 40% lebih gula berbanding 6 dekad lalu.

Sumber: The Star

 

Artikel Berkaitan