#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Pemohon Jururawat EU Menurun 96% Sejak Brexit


 
Jumlah jururawat dari Kesatuan Eropah yang mendaftar untuk bekerja di United Kingdom telah menurun sebanyak 96% sejak undian Brexit pada tahun lepas.

Berdasarkan statistik daripada Majlis Kejururawatan & Perbidanan, angka pemohon kerja baru daripada EU jatuh daripada 1,304 pada bulan Julai tahun lepas kepada hanya 46 pada bulan April tahun ini.

Kejatuhan drastik tersebut akan memberi tekanan lebih terhadap Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) kerana ia sedang menghadapi krisis pengambilan pekerja dan ia juga meningkatkan tekanan politik untuk menjamin hak kakitangan NHS daripada rundingan Brexit.

Kini, terdapat kira-kira 57,000 warga EU yang bekerja untuk NHS, di mana 20,000 daripada mereka adalah jururawat.

Kakitangan antarabangsa (majoritinya warga EU) telah membantu mengisi kekosongan di NHS untuk beberapa tahun kerana UK mengalami masalah untuk merekrut, melatih dan mengekalkan kakitangan tempatan yang cukup.

Anita Charlesworth, pengarah penyelidikan dan ekonomi di Yayasan Kesihatan berkata, pengambilan dan pengekalan jururawat adalah salah sebuah cabaran terbesar yang dihadapi oleh penjagaan kesihatan dan sosial, dengan kekurangan kira-kira 30,000 jururawat.

“Tanpa jururawat EU, ia akan menjadi lebih sukar untuk NHS dan majikan lain untuk mencari kakitangan yang mereka perlukan untuk menyediakan penjagaan pesakit selamat untuk pesakit,” katanya.

Ujar Charlesworth, perkara ini patut menjadi ‘pembuka mata’ bagi setiap ahli politik dan ketua perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, jurucakap kesihatan parti pembangkang Buruh, Jonathan Ashworth menyatakan bahawa NHS sepatutnya menjadi keutamaan dalam rundingan Brexit yang bermula pada minggu depan.

“Kerajaan Theresa May yang lemah dan tidak stabil telah menolak perkhidmatan NHS ke tepi dan pesakit yang perlu menanggung akibatnya,” katanya.

Tambah Ashworth, perkhidmatan kesihatan Britain selama ini sentiasa bergantung kepada sumbangan pekerja luar negara, namun mereka dipaksa keluar oleh kerajaan negara itu.

“NHS perlu menjadi keutamaan dalam rundingan Brexit dan kerajaan sepatutnya dengan segera menjamin hak pekerja EU yang bekerja di sini dala perkhidmatan kesihatan dan penjagaan,” ujar beliau lagi.

 

Sumber: Sky News

Artikel Berkaitan