#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Ingin Sambung Pengajian Di China? Anda Perlu Tahu Peraturan Baru Ini


 

Mulai bulan depan, pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di China kini wajib mengambil kursus Bahasa Cina serta pengajian tentang budaya dan keadaan umum di negara itu.

Peraturan baharu yang dirangka oleh beberapa Kementerian (pendidikan, hal ehwal luar negara dan keselamatan awam) itu menetapkan bahawa universiti dan kolej perlu mengajar pelajar luar mengenai undang-undang negara, institusi dan budaya tradisional di sana.

Selain itu, peraturan itu juga mewajibkan pelajar asing dalam jurusan falsafah dan politik untuk mengambil kursus teori politik, namun maklumat lanjut tidak didedahkan mengenai sistem mana yang akan diajar.

Berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan China, lebih daripada 442,000 pelajar antarabangsa menuntut di sana pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 11% berbanding tahun 2015.

capture

Pelajar antarabangsa di China – Sumber: www.scmp.com

Lebih daripada 70,000 pelajar datang dari Korea Selatan, diikuti Amerika Syarikat, Thailand, Pakistan dan juga India.

Dalam pada itu, undang-undang itu turut melarang mana-mana pelajar daripada melaksanakan sebarang bentuk aktiviti keagamaan di kampus, seperti berdakwah dan perhimpunan agama.

Institut pengajian perlu menghormati agama dan adat pelajar asing, tetapi tidak dibenarkan untuk menyediakan mana-mana tempat untuk aktiviti keagamaan.

Pelajar antarabangsa yang tidak menetap di asrama kampus pula perlu mendaftar alamat mereka dengan polis di kawasan kejiranan tersebut.

Setiap universiti dan kolej turut diarahkan untuk memberi “pelatih” kepada pelajar asing, di mana sistem yang sama diguna pakai terhadap pelajar tempatan yang mempunyai “pelatih politik”.

Pelatih politik universiti telah lama ditugaskan untuk memberi pendidikan politik kepada pelajar tempatan dan menyelia pengajaran ideologi mereka.

Bagi pelajar antarabangsa pula, pelatih mereka ditugaskan untuk memahami apa yang diperlukan oleh mereka dalam pengajian dan kehidupan seharian.

Pelatih juga perlu menyediakan beberapa perkhidmatan lain seperti memberi maklumat, kaunseling dan menjalankan aktiviti rekreasi.

Walau bagaimanapun, undang-undang baharu ini tidak terpakai terhadap pelajar dari Hong Kong, Macau dan Taiwan kerana mereka tidak dianggap sebagai pelajar antarabangsa memandangkan China berpegang teguh pada dasar “Satu China”.

Sumber: South China Morning Post

 

Artikel Berkaitan