AntarabangsaIsu Semasa

Bekas Banduan Diberi Sinar Baru Kehidupan

Program ini merupakan satu inisiatif yang ditubuhkan khas untuk membantu bekas banduan / pesalah dari segi kewangan bagi menjalani latihan vokasional dan kemahiran supaya mereka dapat memperoleh pekerjaan dan berdikari dalam meneruskan kehidupan seharian.

Sebagai manusia, kita memang tidak akan dapat lari daripada melakukan dosa dan kesilapan kerana tiada sesiapa pun di dunia ini yang dicipta dalam keadaan yang sempurna atau maksum, kecuali para Nabi dan Rasul.

Setiap manusia yang bernyawa berhak untuk menerima peluang kedua demi memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Malah, untuk memperoleh kejayaan, kita harus sentiasa belajar dan mengambil iktibar daripada kesalahan-kesalahan lalu supaya tidak lagi mengulanginya di masa akan datang.

Di Singapura, seorang insan bernama Muhammad Isa Bin Saman pernah melalui beberapa detik hitam yang beliau akan ingati sepanjang hidupnya. Kerana terlibat di dalam kegiatan ‘tailong’ atau pemiutang tanpa lesen, beliau telah dimasukkan ke dalam penjara selama satu tahun lapan bulan pada tahun 2011.

Walaubagaimanapun, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Encik Isa telah mempelajari pelbagai erti kehidupan sepanjang tempoh hukumannya itu.

Selepas dibebaskan, Isa membuat keputusan untuk menduduki peperiksaaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ sebagai calon persendirian.

Gambar sekadar hiasan

Hasil kerja kerasnya telah membuahkan hasil apabila beliau berjaya lulus dalam peperiksaan tersebut dan mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam pengajian nautika di Politeknik Singapura.

Ibarat ‘sudah mati dan hidup semula’, beliau layak untuk menjadi penerima dermasiswa Star (Bantuan Latihan Kemahiran bagi Permulaan Baru) Dana Repen Kuning (YRF).

Melalui program itu, segala kos pengajian ditanggung sepenuhnya, malah Muhammad Isa juga diberi elaun bulanan bagi menampung perbelanjaan seharian.

“Elaun yang saya terima setiap bulan banyak membantu. Sebelum itu, saya kerja sambilan dan apabila perlu pergi ke sekolah, saya rasa letih.

“Kadangkala, saya rasa seperti tiada dorongan mahu ke sekolah. Tetapi, sejak menerima elaun, saya berhenti kerja dan kini memberi tumpuan kepada sekolah,” katanya.

Kini, di bawah program bekerja sambil belajar tersebut, beliau mendapat peluang keemasan untuk mengembara ke seluruh dunia menaiki kapal selama satu tahun.

Muhammad Isa – Sumber: beritaharian.sg

Namun, beliau terpaksa menempuh satu lagi dugaan berat apabila bapanya, Saman Eunos, meninggal dunia selepas beliau pergi belayar. Muhammad Isa mendapat tahu berita menyedihkan itu selepas 12 jam apabila kapalnya tiba di pelabuhan.

Menurut Berita Harian Singapura, beliau turut terlepas untuk menghadiri majlis perkahwinan kakaknya pada bulan November 2015.

“Kejadian itu semua mengajar saya bahawa adalah penting meluangkan lebih banyak masa buat keluarga.

“Walaupun kerja itu penting, kita tidak boleh memberi tumpuan 24 jam hanya pada kerja,” kata beliau.

Di samping mempelajari ilmu kemahiran nautika, beliau turut menggunakan masa belayarnya untuk menimba ilmu falak, iaitu ilmu untuk mengetahui kedudukan bintang yang boleh membantu pengemudian kapal.

Dalam pada itu, Muhammad Isa juga melibatkan diri dalam sesi perkongsian bersama bekas pesalah sekali dalam masa tiga bulan.

“Saya nasihatkan mereka (bekas pesalah) supaya usah berhenti mengejar cita-cita. Jangan terlalu bimbang tentang sama ada mereka akan diterima ditempat kerja atau sekolah,” katanya sambil menambah bahawa mereka pasti akan menghadapi cabaran apabila mencari kerja selepas dibebaskan.

Beliau juga memberitahu bekas pesalah supaya menyematkan azam untuk berubah dan buktikan kepada majikan bahawa mereka mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu yang diperlukan.

Sumber: Berita Harian Singapura 
Show More

Related Articles

Back to top button