#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Jack Sparrow Kembali Berlayar Di Pawagam Kerana Dendam Salazar


 

Ketaasuban pengikut kisah lanun paling digilai, Pirates Of The Carribean sememangnya sukar dibendung. Sekuel demi sekuelnya tidak pernah mengecewakan. Demikian juga sekuel terbaru, Pirates Of The Carribean: Salazar’s Revenge yang bakal membuatkan pengikut setia karya arahan Joachim Ronning dan Espen Sandberg untuk terus melekat dengan ceritanya.

Image result for salazar's revenge

Lebih memuncak, keinginan penonton mengetahui sama ada kemampuan Kapten Jack Sparrow (Johnny Depp) masih luar biasa atau tidak. Tambahan pula, Kapten Salazar yang terperangkap dalam dunia roh berusaha menuntut keadilan selepas Jack menyebabkan dia dan anak kapalnya terseksa bertahun-tahun.

Dendam Salazar menggunung terhadapnya sehinggakan tiada lagi belas kasihan tertinggal dalam dirinya. Dia sanggup berbuat apa saja demi menjejak Jack termasuklah membunuh banyak nyawa di perairan Carribean. Dia cuma meninggalkan satu nyawa sebagai perutusan untuk menceritakan tentang kebangkitannya dari kematian.

Dipenuhi dengan kegelapan, sekuel kali ini juga menceritakan satu pengembaraan yang begitu menyentuh hati. Dalam pada ketegangan terus tercetus dalam kalangan lanun di perairan itu, kebenaran demi kebenaran juga terungkai.

Walaupun Jack seorang lanun yang pemabuk, tiada siapa mampu menjatuhkan ketua lanun yang sangat luar biasa kuasanya itu. Sangat ironi dengan karakternya yang suka berseloroh, acuh tak acuh dan tidak serius, sebaliknya Jack terus unggul.

Image result for salazar's revenge

Bahkan, dia menjadi kunci utama kepada segala persoalan yang menjadi misteri. Dirinya jadi buruan disebabkan hanya dirinya yang mampu merungkai pelbagai persoalan itu.

Terutama buat Henry (Brenton Thwaites) yang terdesak mahu membebaskan bapanya, Will Turner (Orlando Bloom) daripada sumpahan. Will pula hilang harapan dan pasrah dia tak mungkin kembali menjalani kehidupan normalnya.

Dalam kembara mencari Jack yang satu-satunya boleh merealisasikan impian itu, Henry dipertemukan pula dengan Carina, seorang gadis yang membantunya menjejaki pulau tersembunyi. Keadaan bertukar menjadi lebih rumit selepas pertemuan itu memandangkan kedua-duanya terikat dengan misi yang cukup berat.

Masih mengekalkan elemen jenaka dan penuh misteri, apapun permainan emosi yang ditonjolkan kali ini nyata begitu menyentuh hati. Apa yang pasti, sekuel ini bakal meruntun emosi penonton, apa lagi nilai kekeluargaan menjadi tunjang jalan ceritanya.

Image result for salazar's revenge

Bukan saja kesungguhan dalam merealisasikan karakter Kapten Salazar, babak peperangan kapal  dalam filem POTC kali ini sememangnya buat penonton tak senang duduk dan ikut cemas sekali.

Buat peminat setia filem francais ini, jangan lupa menonton sekuel keempat, Salazar’s Revenge di pawagam berhampiran anda!

Artikel Berkaitan