Isu SemasaTempatan

Bukan Mudah Untuk Kekalkan Sistem Penjagaan Kesihatan

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai posting di laman sosial Facebook dan laporan di media arus perdana mengenai betapa bagusnya sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.

Berdasarkan laporan Indeks Persaraan Global Tahunan 2017 dalam majalah International Living awal tahun ini, Malaysia diiktiraf sebagai negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia selama 3 tahun berturut-turut berbanding 24 negara lain.

Seorang Doktor Pakar Obstetrik dan Sakit Puan, Dr. John Teo, menyatakan bahawa ramai pihak yang memuji sistem berkenaan kerana rakyat mempunyai akses terhadap rawatan berkualiti tinggi dengan harga yang murah di hospital dan klinik kerajaan.

Malah, dalam segelintir kes, pesakit tidak dikenakan sebarang bayaran untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Baru-baru ini, antara kejadian yang mendapat perhatian dan pujian netizen adalah pembedahan yang sepatutnya berkos RM 11,000 hanya dikenakan caj sebanyak RM 31 kepada pesakit dan satu lagi bil dikenakan pembayaran RM 245 untuk kemasukan Unit Rawatan Rapi (ICU) berharga RM 30,000.

Selain itu, klinik kerajaan juga hanya mengenakan bayaran RM 1 untuk pendaftaran, konsultasi bersama doktor, dan bekalan ubatan selama 1 bulan yang pada asalnya berkos antara RM 200 hingga RM 300.

Tidak dinafikan bahawa semua orang mahu sistem ini terus kekal kerana harganya yang murah dan kualiti rawatan yang diberikan.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa juga bimbang kerana sistem yang sedia ada ini tidak boleh dikekalkan dalam jangka masa yang lama kerana peningkatan bajet yang pesat setiap tahun.

Teo berkata, apa yang orang ramai tidak sedar adalah tiada apa yang percuma sebenarnya. Sebagai contoh, baki pembedahan RM 11,000 yang dikenakan bayaran hanya RM 31 kepada pesakit tadi perlu dibayar oleh orang atau sumber lain.

Ini bermakna bahawa baki tersebut dibayar oleh pembayar cukai atau dari hasil lain yang dikumpulkan oleh kerajaan.

Dalam erti kata lain, pihak kerajaan, yang membelanjakan RM 10,969 bagi pembedahan pesakit tersebut akan mempunyai dana yang kurang untuk keperluan lain seperti subsidi rumah kos rendah, pembinaan jalan dan kemudahan awam lain.

“Lambat laun, jumlah kos penjagaan kesihatan akan meningkat pada tahap yang tidak dapat dikekalkan sehingga Malaysia tidak akan lagi dapat menyediakan penjagaan asas secukupnya,” kata Teo.

Satu-satunya penyelesaian untuk jangka masa panjang adalah bagi memastikan setiap orang bertanggungjawab dan membayar sendiri kos penjagaan kesihatan mereka.

Ini boleh dicapai sama ada dengan membayar kebanyakan kos rawatan dengan sendiri atau mengambil insurans penjagaan kesihatan.

Skim insurans tersebut perlu ditawarkan kepada individu secara berseorangan supaya insurans itu hanya akan melindungi pembayar sahaja.

Tetapi, perlu ada juga rancangan lain untuk melindungi golongan yang tidak mampu membayar kos penjagaan kesihatan, walaupun pada harga yang rendah.

Untuk ini, Teo berpandangan bahawa kerajaan perlu menubuhkan skim kebajikan bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

 

Sumber: Harian Metro, The Star
Show More

Related Articles

Back to top button