#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


‘Festival Ban’ Di Pulau Cheung Chau Menarik Ramai Pelancong Ke Hong Kong


 

Kemeriahan Di Pulau Cheung Chau

Pemain seruling, pemain gendang dan penari singa ditemani dengan keriuhan alatan muzik memenuhi jalan-jalan di Pulau Cheung Chau yang terletak di Hong Kong yang biasanya lengang. Mereka adalah sebahagian daripada perarakan festival tahunan yang diberi nama “Festival Ban”.

Penari naga juga turut ada di Festival Ban untuk memeriahkan suasana

Beribu-ribu orang  berkumpul di Hong Kong 17 Mei  untuk Festival Ban yang penuh dengan warna-warni, riuh dengan muzik serta sesak dengan orang-orang yang sedang memakai kostum.  Perhatian tertumpu kepada mereka yang sedang mendaki Menara Ban yang curam.

Kanak-kanak kecil memakai pakaian yang mempunyai perincian indah – ada yang berpakaian seperti dewa-dewi, wira sukan tempatan dan juga ahli-ahli politik. Mereka kelihatan seperti terapung di atas orang ramai apabila diletakkan di atas platform yang tinggi sebelum diarak menerusi  pengunjung yang  ramai.

Kanak-kanak memakai kostum diarak ketika festival berlangsung

Sepanjang laluan perarakan tersebut  terdapat pelawat yang membeli bungkusan roti manis  ketika festival itu sedang berlangsung.

Aksi rebutan oleh peserta-peserta tangkas pada tengah malam, di sebuah menara setinggi 18 meter yang dibina dengan ban-ban tiruan  mengakhiri festival tersebut.

Asal-Usul Festival Ban

Asal-usul festival  ini,  berasal dari abad  ke-19, apabila Cheung Chau sedang  bergelut untuk menentang wabak dan serbuan lanun.

Sejarahnya bermula apabila  nelayan-nelayan tempatan ketika itu  berarak dengan sebuah patung Dewa Taoist yang dikenali sebagai Pak Tai, dewa laut sebagai sebahagian daripada perarakan untuk mengusir wabak tersebut dan roh-roh jahat.

Perarakan itu berkesan – dan semenjak itu Dewa Pak Tai telah diingati sebagai simbol wira kerohanian.

Perayaan tersebut kini  dilakukan di sekitar kuil Pak Tai yang terletak di  Cheung Chau. Perayaan ini berjaya menarik pelancong dari seluruh Hong Kong serta  luar negara.

Kwok Yu-Chuen mempunyai salah sebuah kedai roti yang menghasilkan ban bagi festival yang terkenal  itu dan telah bekerja di sana selama 40 tahun.

Ban tersebut diperbuat daripada tepung beras serta mempunyai inti pes manis yang dibuat daripada biji teratai, kacang merah dan bijan, ia  juga mempunyai  tulisan Cina  yang timbul yang bermaksud “keamanan” dan “selamat”.

Ban berinti manisan popular sepanjang festival ini diadakan

 Ia juga melambangkan kesihatan dan kemakmuran.

“Ramai orang mengharapkan kedamaian, keselamatan dan kesihatan yang baik dengan memakan ban dari Cheung Chau,” kata Kwok, 53.

“Sebab itu mereka suka datang ke sini untuk menyertai perayaan ini.”

Pembinaan Menara Ban

Menara Ban itu tidak lagi dibina menggunakan ban sebenar.  Sebaliknya, ban plastik digunakan untuk melapik rangka keluli yang digunakan untuk mendirikan menara tersebut.  Ia merupakan sebahagian daripada langkah keselamatan yang diambil selepas struktur menara yang lama (diperbuat daripada buluh dan ban sebenar) runtuh pada tahun 1978  dan mengakibatkan kecederaan.

Pertandingan merebut ban di menara setinggi 18 meter diadakan selepas tengah malam

Namun begitu, pada setiap tahun, apabila  peserta tiba pada ketinggian yang  hebat, mereka masih sempat memasukkan ban  ke dalam karung yang mereka bawa bersama. Ban dari puncak  menara mempunyai  mata yang paling tinggi  dan mereka yang dapat mata tertinggi merupakan pemenangnya.

Pada tahun ini, ahli bomba tempatan, Jason Kwok dan jurulatih pendakian, Angel Wong – kedua-duanya mengulang kemenangan – mereka telah sekali lagi  berjaya memenangi pertandingan ini bagi  kategori masing-masing,  lelaki dan wanita.

Sumber: The Sun

 

Artikel Berkaitan