#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Al Qaeda Buat Kuiz Untuk Rekrut Pemuda


 

Kumpulan militan Al-Qaeda telah menggunakan pendekatan baru yang dilihat lebih ‘lembut’ untuk merekrut ahli baru dalam kalangan orang muda.

Menurut laporan Reuters, kumpulan itu mengedarkan kertas kuiz kepada orang-orang muda dan meletakkan senjata senapang AK-47 sebagai hadiah utama.

Orang awam menyatakan bahawa kumpulan itu juga turut menampal poster dan mengiklankan pertandingan itu secara terbuka kepada orang ramai.

Kebanyakan soalan yang ditanya pula adalah topik berkaitan ‘tafsiran agama Islam’ berdasarkan ideologi Al Qaeda.

Antara soalan utama yang diketengahkan adalah seperti berikut:

1. Namakan 3 artikel daripada perlembagaan Yaman yang bercanggah dengan Undang-Undang Islam.

2. Sesiapa sahaja yang mengikut undang-undang lain selain Undang-Undang Islam adalah seorang kafir yang perlu dibunuh. Senaraikan 3 rujukan (berdasarkan kitab) untuk perkara ini.

Difahamkan, pemenang hadiah pertama akan menerima AK-47 buatan China, sebuah motosikal bagi pemenang kedua diikuti komputer riba untuk pemenang tempat ketiga.

Hadiah lain yang ditawarkan termasuk sepucuk pistol dan wang tunai sebanyak 20,000 rial (AS$80).

Walau bagaimanapun, kuiz itu tidak memberi sebarang maklumat mengenai di mana untuk menghantarnya selepas selesai menjawab.

Kumpulan Al Qaeda di Yaman merupakan salah satu rangkaian militan yang paling aktif, dan mereka kini mengambil kesempatan terhadap huru-hara yang berlaku di negara itu untuk mengukuhkan kedudukannya, terutamanya di bahagian wilayah selatan.

Sumber: Reuters

 

Artikel Berkaitan