#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Arab Saudi Tidak Akan Berdamai Dengan Iran


 

Arab Saudi tidak akan berdamai dengan Iran kerana negara itu hanya ingin mendominasi dunia Islam dengan menyebarkan fahaman Syiah.

Menurut Timbalan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, kerajaan negaranya boleh bertahan dalam peperangan di Yaman, di mana Arab Saudi berjuang bersama pasukan pro-kerajaan menentang kumpulan pemberontak Iran.

“Bagaimana kita hendak berbaik dengan sebuah rejim yang mempunyai ideologi ekstremis…dan hasrat mendalam untuk mendominasi dunia Islam dengan menyebarkan ajaran Syiah?”, soal Putera Mohammed.

Ujar beliau lagi, Iran mempunyai matlamat untuk menghancurkan kerajaannya dan negara itu juga tidak pernah ikhlas terhadap Arab Saudi kerana cubaan untuk berdamai adalah sekadar “komedi”.

Pemimpin Arab Saudi turut mendakwa bahawa Iran sering mencetuskan konflik serantau dengan menyokong pergerakan Syiah di Syria, Iraq, Bahrain dan juga di Yemen.

Tetapi, kerajaan Iran pula menafikan dakwaan tersebut dan menuduh Arab Saudi menyokong kumpulan radikal Islam.

Suasana juga menjadi semakin tegang di antara kedua-dua negara selepas Putera Mohammed menyatakan bahawa peperangan antara Riyadh dan Teheran akan berlaku di Iran.

“Kita (Arab Saudi) akan pastikan peperangan berlaku di Iran berbanding Arab Saudi,” katanya.

Susulan itu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Hossein Dehqan mengeluarkan amaran bahawa tentera mereka bersedia untuk memusnahkan Arab Saudi, kecuali Makkah dan Madinah sekiranya melakukan sebarang provokasi atau tindakan bodoh.

“Kita memberi amaran kepada mereka agar tidak melakukan perkara bodoh. Jika mereka berdegil, kita akan memusnahkan seluruh negara itu kecuali Makkah dan Madinah,” katanya.

 

Sumber: The Star, Mstar

 

 

Artikel Berkaitan