#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Adakah PAS & PKR Akan ‘Bercerai Talak 3’? Bila?


 

Baru-baru ini, Muktamar PAS ke-63 telah berlangsung selama 5 hari di Kedah dari 27 April sehingga 1 Mei 2017.

Selain daripada pelantikan jawatan dan mengatur strategi untuk PRU-14, antara topik hangat yang dibincangkan adalah berkenaan tahaluf siyasi.

Tahaluf Siyasi adalah kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.

Kerjasama ini boleh diwujudkan dalam apa jua bidang dan termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk  menghadapi musuh yang sama.

Ia juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam.

Berikut adalah syarat-syarat untuk mengadakan tahaluf siyasi seperti yang digariskan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) PAS dari laman web www.tarbawi.my:

1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah (segala perkara yang dapat mendekatkan seseorang kepada Allah) untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

3. Intima’ (gabungan dalam gerakan) hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.

4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.

6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar’iyyah (ketentuan kebijaksanaan pengurusan masalah kenegaraan yang berdasarkan syariat) dari semasa ke semasa.

Dalam konteks perbincangan Muktamar PAS kali ini, tahaluf siyasi merujuk kepada kerjasama di antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah diwujudkan sejak tahun 1998 lagi.

Muktamar PAS Pusat ke-63 telah sebulat suara bersetuju untuk menamatkan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu.

Menurut wakil Dewan Ulama, Zulkifli Ismail yang membentangkan usul itu, banyak syarat yang telah dilanggar sejak kerjasama PAS-PKR pertama kali diwujudkan.

Beliau berkata, kejadian seperti tindakan PKR yang menyokong calon Parti Amanah Negara (PAN) dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil (Kuala Kangsar dan Sungai Besar) menjadi antara bukti pelanggaran syarat yang telah ditetapkan.

“Selain itu kegagalan PKR untuk memberi sokongan kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP yang menentang keras pindaan berkenaan,” ujarnya lagi.

Tambah Zulkifli, pimpinan parti PKR juga mengeluarkan kenyataan-kenyataan secara terbuka yang dilihat “celupar” dan “biadap” terhadap PAS.

Pada masa yang sama, tindakan itu secara jelas menunjukkan bahawa tiada lagi unsur setiakawan dari PKR kepada PAS.

Namun, persoalannya, adakah PAS benar-benar akan ‘bercerai talak 3’ bersama PKR walaupun usul itu telah dipersetujui oleh perwakilan dan dewan-dewan parti itu?

Jawapannya masih belum pasti, kerana keputusan akhir mengenai perkara itu akan ditentukan oleh MSU seperti yang tertakluk di bawah perlembagaan PAS.

Tetapi, terdapat kemungkinan besar penceraian itu akan berlaku kerana sebelum ini, MSU telah memutuskan untuk bercerai dengan Democratic Action Party (DAP) selepas usulnya diterima sebulat suara oleh Muktamar PAS.

Dalam pada itu, PAS, sebuah parti yang kerap dilabel sebagai ‘parti lebai kampungan’ kali ini membariskan bukan calang-calang pemimpin.

Latar belakang pemimpinnya tidak lagi menggambarkan PAS sebagai parti ‘pak lebai’, kerana ia dibarisi insan berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang pengajian.

Kabinet Pas ini juga adalah gambaran masa depan parti melakar kedudukan Pas pada PRU14, sama ada bersama gabungan pembangkang atau hanya menjalin kerjasama bersama blok ketiga.

Mereka inilah yang bakal mencorakkan rentak politik dan perjuangan Islam berpandukan kepada Majlis Syura Ulama.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan ilmuwan yang menerima pengiktirafan dunia Islam apabila dipilih sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia, dan beliau memiliki sarjana dari Asia Barat, Madinah dan Mesir.

Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pula adalah mantan pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Sarjana Dakwah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum menyambung Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

 

Sumber: Mstar, Harian Metro, Sinar Harian

Artikel Berkaitan