#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Konflik Kepentingan Ivanka Trump


 

Konflik kepentingan sangat cenderung untuk berlaku, terutamanya pada individu yang mempunyai perniagaan sendiri dan memegang jawatan penting dalam kerajaan.

Sebelum dilantik menjadi presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah berikrar untuk menyerahkan perniagaannya kepada anak-anak lelakinya supaya beliau dapat memberi tumpuan penuh untuk bertugas sebagai pemimpin negara sekali gus mengelak sebarang konflik kepentingan.

Donald Trump dan dua anak lelakinya – Sumber: www.maltatoday.com.mt

Pada bulan Mac lalu, anak beliau, Ivanka Trump turut mengikut jejak langkahnya dalam mengasingkan diri dari perniagaan peribadi selepas dilantik menjadi penasihat khas kepada presiden itu di Rumah Putih.

Tetapi, keadaan Ivanka sebagai seorang kakitangan awam dan bapanya sebagai presiden amat berbeza.

Sebagai presiden, Trump dikecualikan daripada kebanyakan undang-undang yang melarang seorang presiden daripada menghadapi konflik kepentingan di antara urusan perniagaan dan tugas sebagai pemimpin.

Namun, Ivanka yang memegang jawatan penasihat adalah seorang kakitangan awam dan beliau cenderung untuk melanggar perlembagaan AS jika tersilap langkah.

Undang-undang AS melarang semua kakitangan kerajaan daripada meraih keuntungan peribadi daripada kedudukan mereka sebagai pegawai kerajaan.

Makan malam bersama Presiden China, Xi Jinping – Sumber: www.thinkprogress.org

Jadi, sekiranya beliau melakukan urusan perniagaan dengan negara luar dengan melibatkan keududukannya dalam kerajaan, Ivanka akan melanggar undang-undang persekutan sivil dan jenayah AS.

Di bawah undang-undang AS, kakitangan kerajaan dilarang untuk menerima sebarang bentuk “barangan bernilai” termasuk wang, harta, perjanjian perniagaan dan sebagainya dari kerajaan negara lain.

Namun, integriti Ivanka mula dipersoalkan pada 6 April lalu apabila beliau dan bapanya mengadakan majlis makan malam bersama Presiden China, Xi Jinping di sebuah resort milik Trump di Florida.

Memetik laporan Associated Press, perniagaan pakaian Ivanka menerima kelulusan sementara untuk 3 cap dagangannya (trademark) daripada kerajaan China pada hari yang sama.

Kelulusan itu akan memberi beliau hak eksklusif untuk menjual produk-produknya seperti pakaian, barang kemas, bag tangan, kasut dan pakaian sukan di bawah namanya “Ivanka Trump” kepada 1.4 bilion orang di China.

Produk Ivanka Trump – Sumber: www.dailymail.co.uk

Walau bagaimanapun, kerajaan China menyifatkan kejadian itu sebagai satu “kebetulan”.

Tetapi, Richard Painter, bekas ketua peguam etika Rumah Putih ketika pentadbiran Presiden Bush, berpandangan bahawa Ivanka amat cenderung untuk melanggar undang-undang.

“Saya rasa ia sangat bagus untuk Ivanka kerana perniagaannya maju…segalanya juga akan berada dalam keadaan baik jika beliau tidak bekerja di dalam Rumah Putih,” kata Painter.

Ujarnya lagi, Ivanka perlu mematuhi undang-undang Criminal Conflict of Interest, yang melarang beliau daripada terlibat dalam sebarang urusan kerajaan yang mempunyai kesan langsung atau kesan yang dapat diramalkan terhadap perniagaan peribadinya, dan ia termasuk perdagangan bersama China.

Richard Painter, Bekas Peguam Etika Rumah Putih – Sumber: www.mediaite.com

Dalam satu kenyataan, peguam Ivanka berkata: “Ivanka tidak terlibat dengan permohonan cap dagangan yang dihantar oleh perniagaannya.”

Pada bulan Januari lalu juga, Ivanka telah mengamanahkan presiden syarikatnya, Abigail Klem, untuk mengambil alih pengurusan harian perniagaannya.

Menurut seorang penganalisis fesyen, syarikat Ivanka Trump menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 771% di antara Februari 2016 dan Februari 2017.

Pakar industri menyifatkan peningkatan itu sebagai “luar biasa” dan “gila”.

Sumber: Independent UK, CBS News

Artikel Berkaitan