#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Malaysia: Negara Berdaulat Yang Berdiplomatik


 

Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang amat terkenal dengan menjaga hubungan yang baik bersama negara-negara luar.

Dalam tempoh empat bulan pertama bagi tahun 2017, Malaysia menerima tetamu daripada 3 buah negara iaitu Arab Saudi, Perancis dan Jepun dan menjadi tetamu di India selaras dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik bersama negara-negara itu.

Kesemua lawatan tersebut adalah bukti bahawa Malaysia disenangi negara luar kerana sentiasa mengekalkan dan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan mengamalkan prinsip rundingan, keterbukaan dan kerjasama yang baik dalam segala aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik.

ARAB SAUDI

Yang di-Pertuan Agong bersalaman bersama Raja Arab Saudi – Sumber: www.astroawani.com

Malaysia menerima kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Bin Abdulaziz Al Saud selama empat hari bermula 28 Februari – 1 Mac lalu.

Lawatan sulung baginda ke Malaysia disifatkan sebagai satu era baharu dalam hubungan Malaysia-Arab Saudi dan berada di peringkat terbaik sejak lebih 5 dekad lalu.

Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, di mana dangangan antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 19.8% pada tahun lepas dan kini berjumlah RM13.12 bilion.

Semasa lawatan itu, pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani, antaranya adalah kerjasama ekonomi, pekerja dan sumber manusia, serta kerjasama dalam bidang sains dan pendidikan.

Kedua-dua negara turut memberi keutamaan dalam membendung penyelewengan agama yang membawa kepada kegiatan keganasan dan ajaran sesat.

PERANCIS

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri bersama Presiden Perancis – Sumber: www.nst.com.my

Presiden Perancis, Francois Hollande mengadakan rawatan rasmi dua hari ke Malaysia sebahagian daripada lawatan sulungnya ke Rantau ASEAN.

Hasil lawatan itu menyaksikan penandatanganan enam MoU antara Perancis dan Malaysia yang berkaitan tenaga, penjanaan tenaga suria sektor gas serta pertahanan dan penubuhan platform untuk Landskap Pertanian Lestari di Asia Tenggara.

Ini juga merupakan lawatan negara kedua oleh Presiden Perancis ke Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Jacques Chirac melakukan lawatan ke Malaysia pada 2003 dan ia disifatkan sebagai peristiwa penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Perancis.

INDIA

PM Malaysia dan PM India – Sumber: www.malaysiaoutlook.com

Pada 30 Mac hingga 4 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rawatan rasmi selama 6 hari ke India.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik 6 dekad lalu, Malaysia dan India telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang iaitu politik, ekonomi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, pertanian, dan pertahanan dan sebagainya.

Pada masa ini, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada pada tahap pesat dan meningkat empat kali ganda sejak tahun 2003 hingga 2015.

India juga merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, di mana negara itu menyumbang sebanyak 3.3% atau RM52.65 bilion daripada jumlah dagangan negara.

Lawatan tersebut mendatangkan manfaat terhadap Malaysia berikutan sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai dengan nilai pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM 158.4 bilion.

JEPUN

Putera Mahkota Jepun semasa ketibaannya di Malaysia – Sumber: www.astroawani.com

Malaysia menyambut kedatangan Putera Mahkota Jepun, Putera Naruhito ke negara sempena lawatan rasmi 5 hari baginda dari 13 hingga 17 April baru-baru ini.

Ia merupakan lawatan pertama Naruhito ke Malaysia sejak baginda dimasyhurkan sebagai Putera Mahkota Jepun pada 1991.

Sepanjang lawatannya, Putera Naruhito sempat mengunjungi Pusat PERMATA pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muzium Negara, Terowong Smart dan Sekolah Jepun Kuala Lumpur.

Baginda turut mengadakan pertemuan dengan masyarakat Jepun di Malaysia di kediaman rasmi Duta Besar Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Menurut kenyataan Wisma Putra, hubungan dua hala Malaysia dan Jepun berkembang dengan pesat sejak pemeteraian hubungan diplomatik 60 tahun lalu.

Dalam pada itu, program ‘Dasar Pandang ke Timur’ adalah antara teras utama kerjasama di antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan