#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Wanita Arab Saudi Kini Boleh Bersenam Di Gimnasium


 

Arab Saudi merupakan salah sebuah negara di dunia yang mengenakan pelbagai sekatan terhadap kaum wanita.

Sekatan yang paling diketahui umum adalah larangan memandu kenderaan yang menyebabkan ramai wanita terpaksa bergantung kepada suami mereka untuk bergerak ke mana-mana.

Di negara itu juga, wanita tidak dibenarkan untuk bersenam bersama kaum lelaki dalam satu tempat yang sama.

Memandangkan kebanyakan ulama’ di sana menganggap sukan untuk wanita adalah “kurang sopan”, negara itu tidak mempunyai sebarang kemudahan sukan untuk golongan berkenaan.

Walau bagaimanapun, wanita kini diberi akses kepada gimnasium khas untuk “wanita sahaja” buat pertama kali berikutan pelantikan Puteri Reema Bandar sebagai ketua baharu unit wanita di dalam Pihak Berkuasa Sukan pada tahun lepas.

Mengumumkan pemberian lesen pada bulan Februari lalu, Puteri Reema menyatakan bahawa ia bertujuan untuk “membuka pintu” kepada wanita supaya dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

Namun, mereka dilarang untuk menganjurkan sebarang program sukan kompetitif seperti bola sepak dan boxing, antaranya.

Menurut seorang jurucakap Pihak Berkuasa Sukan dua belan lepas, lesen akan diberi mulai bulan ini (April) untuk meningkatkan ekonomi sukan yang akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan selain daripada melakukan senaman fizikal.

Seorang wanita Arab Saudi, Heelah Abdul Aziz, 59, berkata, langkah ini akan memanfaatkan kira-kira 44% wanita di negara itu yang mengalami obesiti.

“Kami akan mendapat lebih banyak gimnasium, mereka akan bersaing dan harga akan menjadi semakin murah agar wanita boleh datang,” katanya.

Kesihatan wanita di seluruh negara telah terjejas akibat kekurangan peruntukan dan perhatian terhadap senaman dalam kalangan mereka.

Arab Saudi juga berada di dalam kalangan beberapa negara yang mempunyai kadar obesiti dan kencing manis tertinggi di dunia.

Sumber: Reuters

Artikel Berkaitan