#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Kanada: Ahli Parlimen Dipuji Kerana Puasa Penuh


 

Ahli Parlimen Liberal Kanada, Mark Holland telah mengumumkan di Parlimen pada 3 Jun lalu bahawa beliau akan berpuasa penuh buat kali kedua pada bulan Ramadhan tahun 2016 dan menderma wang makan yang disimpan untuk tujuan amal.

“Tuan Speaker, minggu depan akan ada beratus ribu warga Kanada yang akan menyambut Ramadhan. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan semua yang menyambut Ramadhan, Ramadhan Mubarak.

Mark Holland, Ahli Parlimen Ajax, Kanda

“Tahun lepas (2015), saya mendapat peluang untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Ia merupakan satu perkara yang akan saya lakukan lagi dalam menyokong badan amal bernama Give30.

“Orang ramai mengambil wang yang mereka simpan daripada berpuasa setiap hari dan memberinya kepada mereka yang memerlukan, terutamanya bank makanan,” kata Holland dalam pengumumannya.

Badan amal Give30 ditubuhkan oleh Ziyaad Mia, seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia, pada tahun 2012, dan ia mengendalikan sumbangan terus kepada bank makanan di seluruh Kanada sepanjang bulan Ramadhan.

Ziyaad Mia, Pengasas Give30 – Sumber: www.cbc.ca

Organisasi tersebut berharap agar orang-orang Islam dan bukan Islam akan menggunakan bulan Ramadhan untuk merasai apa yang dilalui oleh golongan miskin yang terpaksa berhadapan dengan lapar dan dahaga sepanjang tahun.

Inisiatif ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada AS$300,000 sejak ia ditubuhkan. Dalam tempoh empat hari Ramadhan tahun ini, Give30 memperoleh wang sumbangan sebanyak AS$17,557.

Badan Amal Give30 – Sumber: www.themississaugafoodbank.org

“Apabila saya berpuasa, ia adalah satu pengalaman yang luar biasa untuk lalui apa yang dirasai ketika berasa lapar.

“Semestinya, saya lega pada hujung hari (waktu berbuka), tetapi malangnya bagi ramai kanak-kanak di Kanada dan di seluruh dunia, kelegaan itu tidak pernah datang,” ujar ahli parlimen itu lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa badan amal Give30 memberi peluang kepada kita untuk berfikir tentang kesusahan itu dan menggunakan kuasa Ramadhan untuk membantu orang lain.

Sokongan Ratu Jordan terhadap Holland – Sumber: www.moroccoworldnews.com

Keputusan Holland untuk memberi fokus terhadap Bulan Ramadhan telah menerima perhatian antarabangsa. Ratu Jordan, Noor al-Hussein turut menunjukkan sokongannya melalui Twitter.

Dalam pada itu, video ucapan Holland yang dimuat naik di laman Facebook meraih 5,000,000 tontonan dan 107,000 likes.

Sumber: Morocco World News 

Artikel Berkaitan