#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Hutang Pinjaman Kereta Antara Punca Utama Muflis


 

Selain daripada muflis kerana gagal menguruskan kad kredit, hutang pinjaman kereta merupakan antara punca utama yang menyebabkan rakyat Malaysia jatuh muflis.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk Abdul Rahman Putra Taha berkata, 34.42% kes muflis melibatkan individu berusia antara 35 hingga 44 tahun.

Daripada tahun 2013 sehingga bulan Februari tahun ini, sebanyak 23,191 kes muflis akibat hutang pinjaman kereta dicatatkan.

“Jumlah ini adalah sebanyak 27.18% daripada punca keseluruhan kes muflis,” kata Abdul Rahman.

Selain itu, seramai 1,157 individu berusia 25 tahun ke bawah juga diisytiharkan muflis sejak 4 tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, kekurangan pengetahuan dan faktor sikap menjadi punca generasi muda tempatan gagal menguruskan wang mereka dengan baik.

Azaddin berkata, 75% kes kebankrapan membabitkan pinjaman kad kredit, di mana peminjam tidak membayar hutang pada tempoh yang ditetapkan dan hanya membayar jumlah minimum sehingga membuatkan pinjaman mereka menjadi berlipat kali ganda.

Terkini, Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) telah diluluskan oleh Parlimen dan ia meningkatkan nilai minimum kebankrapan sebanyak RM 50,000 berbanding RM 30,000 sebelum ini dengan mengambil kira faktor inflasi, nilai mata wang dan keadaan ekonomi semasa.

Abdul Rahman turut menasihati orang ramai supaya bijak dalam mengurus kewangan sendiri supaya tidak terjebak dalam masalah muflis.

“Semua orang perlu menguruskan kedudukan kewangan dengan betul, bukan sahaja dari segi pinjaman,” kata beliau sambil menambah bahawa perbelanjaan peribadi seseorang juga perlu diuruskan dengan baik.

Ujar beliau lagi, masalah muflis akan mendatangkan pelbagai mudarat kepada seseorang itu, antaranya adalah akaun bank dibekukan, tidak boleh ke luar negara, dilarang menjalankan perniagaan dan sebagainya.

Sumber: Mstar, Harian Metro

 

Artikel Berkaitan