#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


UK Bantu Arab Saudi Dalam Reformasi Ekonomi


 

Britain akan membantu Arab Saudi untuk  mempelbagaikan ekonomi negara itu yang hanya bergantung sepenuhnya pada minyak berikutan lawatan Perdana Menteri, Theresa May di sana.

Lawatan tersebut juga bertujuan untuk menjamin pelaburan dan perdagangan selepas Britain secara rasmi memulakan usaha untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh 2 tahun ini.

Antara isu lain yang turut dibincangkan termasuk keselamatan dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan.

Menurut May dalam satu kenyataan, hubungan keselamatan di antara kedua-dua negara itu telah “menyelamatkan ramai nyawa di UK.”

Perdana Menteri itu bersama ketua Bursa Saham London (LSE) Xavier Rolet juga membentangkan kepada Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) mengenai peluang pelaburan yang tinggi di Britain.

Selain itu, May juga merupakan penyokong kuat dalam Visi 2030 Arab Saudi sambil menyifatkannya sebagai rancangan pembaharuan yang bercita-cita tinggi.

886966-730912841

Pertemuan PM Britain dan Raja Arab Saudi – Sumber: www.arabnews.com

“Sebagai seorang pemimpin dunia dalam pelbagai sektor, UK berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu Arab Saudi melaksanakan pembaharuan penting ini,” katanya.

Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud turut membincangkan kerjasama di antara kedua-dua negara itu dalam usaha menangani isu kemanusiaan di Yaman.

Sebelum mengakhiri lawatan dua hari beliau, May sempat menemui pemimpin-pemimpin wanita Arab Saudi.

Antaranya adalah Puteri Reema bint Bandar, naib presiden hal ehwal wanita di General Sports Authority.

Mereka berdua membincangkan kerjasama dua hala untuk meningkatkan dan membangunkan budaya sukan sosial dan pengeluaran ekonomi yang boleh dihasilkan melalui usaha itu.

Dalam pada itu, May mengumumkan bahawa UK akan memberi bantuan kepada Arab Saudi bagi meningkatkan peluang lelaki dan wanita untuk melibatkan diri dalam sukan.

Seorang lagi pemimpin wanita yang dijumpai adalah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Saham Arab Saudi, Sarah Al-Suhaimi untuk membincangkan peranan wanita di dalam sektor swasta.

Hasil daripada perbincangan itu, British Council’s Contemporary Collective akan melancarkan program untuk melatih wanita muda Arab Saudi dalam pengurusan seni agar mereka memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan program kebudayaan berskala besar di negara mereka.

Sumber: Arab News

 

 

 

Artikel Berkaitan