#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Bolehkah Negeri Persekutuan Keluar Dari Malaysia?


 

Untuk hampir 6 dekad, tanah air tercinta kita, Malaysia, telah menjadi sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Menurut Mohd Hazmi Mohd Rusli, seorang pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia di dalam penulisannya di laman Astro Awani, negara kita bukanlah seperti Hong Kong dan Singapura, di mana kedua-kedua negara tersebut menjadi nadi perdagangan British di Timur.

Sebelum mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, pihak penjajah British telah mengaut segala hasil kekayaan negara kita demi kepentingan ekonomi mereka.

Walau bagaimanapun, setelah memperoleh kemerdekaan, Malaysia mampu bangkit dan berkembang pesat dari segi ekonomi, pendidikan, teknologi dan sebagainya sehingga diiktiraf sebagai salah sebuah negara perdagangan yang terbesar di dunia.

Bendera Malaysia, Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di atas dan diakhiri dengan jalur putih di bawah.

4 jalur tersebut melambangkan keanggotaan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan. Persekutuan Malaysia telah berjaya menggabungkan 14 buah negeri ini sejak tahun 1963 lagi.

Namun begitu, Mohd. Hazmi berkata, sejak kebelakangan ini terdapat segelintir pihak yang ingin ‘mengajak’ negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia untuk berpecah.

“Sebagai contoh, Perlis berhak keluar sekiranya ia berkehendak sedemikian, dan hak yang sama terpakai untuk Perak, Selangor, Johor, Sarawak atau negeri-negeri lain di Malaysia,” kata beliau.

Persoalannya sekarang, adakah kedaulatan Malaysia akan kekal terpelihara jika terdapat mana-mana negeri yang keluar?

Dan adakah perkara ini sesuatu yang boleh berlaku mengikut undang-undang antarabangsa?

Mohd. Hazmi menegaskan bahawa Malaysia telah menjadi negara berdaulat untuk separuh abad dan masyarakat dunia, menerusi konsep prescription, telah mengiktiraf semua negeri dalam Persekutuan sebagai sebahagian dari Malaysia.

Disebabkan itu, negeri-negeri di dalam Malaysia tidak berhak untuk keluar dengan mudah kerana ia bercanggah dengan Fasal 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin akan ada tanggapan bahawa Singapura boleh keluar daripada Malaysia dan menjadi negara merdeka yang berjaya dan langkah itu boleh dilaksanakan untuk negeri lain juga.

Tetapi pada waktu itu, Singapura tidak keluar begitu sahaja, tetapi ia dikeluarkan melalui kehendak dan kebenaran Kerajaan Persekutuan.

“Sejak 1965, Singapura tidak lagi dianggap negeri bagian Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Daripada aspek keamanan dan kestabilan, Malaysia berada di tangga ke-28 dari 162 buah negara di dunia.

Ini menunjukkan bahawa Malaysia telah mengalahkan negara-negara yang lebih maju seperti United Kingdom, Perancis dan Itali dari aspek tersebut.

Sumber:  Astro Awani

 

Artikel Berkaitan