#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Rakyat Turki Luar Negara Mula Undi Untuk Referendum


 

Bermula hari ini, rakyat Turki yang menetap di 6 buah negara Eropah boleh keluar mengundi untuk referendum negara itu bagi melakukan pembaharuan dalam perlembagaan.

Terdapat kira-kira 3 juta orang rakyat Turki yang menetap di luar negara berkelayakan untuk mengundi bagi referendum tersebut.

Mereka akan mengundi dalam 120 misi Turki di 57 buah negara seluruh dunia.

Menurut laporan, undian di Jerman, Austria, Belgium, Perancis, Switzerland, dan Denmark akan berlangsung sehingga 9 April.

turkey_election_270317

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.dw.com

Berikut adalah senarai lokasi undian di 6 negara tersebut:

JERMAN: Berlin, Dusseldorf, Essen, Frankfurt, Hamburg, Hannover, Karlsruhe, Cologne, Mainz, Munich, Nuremberg dan Stuttgart

AUSTRIA: Vienna, Salzburg dan Bregenz

BELGIUM: Brussels dan Antwerp

PERANCIS: Paris, Kyon, Marseille, Nantes, Strasbourg dan Bordeaux

SWITZERLAND: Zurich, Geneva dan Bern

DENMARK: Kedutaan di Copenhagen

Di Amerika Syarikat pula, proses mengundi akan bermula pada 1 April, United Kingdom (6 April), Republik Turki Utara Cyprus (TRNC) dan Belanda (5 April), Itali dan Arab Saudi (7 April) serta di Greece dan Rusia (8 April).

Bagi 55.3 juta rakyat Turki yang berada di tanah air dan berkelayakan, mereka akan keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 16 April.

Penyokong Presiden Erdogan – Sumber: www.thenewage.co.za

Referendum pembaharuan perlembagaan itu telah dibincangkan sejak Presiden Reccep Tayip Erdogan dipilih menjadi presiden pada bulan Ogos 2014 lagi.

Rang Undang-Undang (RUU) bagi referendum itu pula diluluskan oleh parlimen pada bulan Januari tahun ini dengan meraih sokongan 339 ahli parlimen.

Untuk meluluskan RUU di negara itu, ia memerlukan sekurang-kurangnya 330 undian dari kalangan ahli parlimen.

Pembaharuan perlembagaan tersebut merangkumi memberi kuasa eksekutif kepada presiden selain daripada memansuhkan jawatan perdana menteri.

Sekiranya majoriti rakyat menyokong referendum tersebut, ia juga akan membolehkan Erdogan untuk memerintah Turki sehingga tahun 2029.

Antara perubahan lain yang akan dilaksanakan adalah umur minima bagi calon parlimen dikurangkan kepada 18 tahun. Pilihan raya presiden dan parlimen akan diadakan pada November 2019 di bawah perlembagaan baru nanti.

Selain itu, Erdogan turut berikrar untuk mengembalikan hukuman mati dengan segera selepas pembaharuan tersebut berkuatkuasa.

Sumber: Anadolu Agency

Artikel Berkaitan