#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Korea Selatan: Pilihan Raya Akan Berlangsung Pada 9 Mei Untuk Lantik Presiden Baharu


 

Berikutan pemecatan Park Geun-hye sebagai Presiden Korea Selatan atas kesalahan skandal rasuah, negara itu akan mengadakan pilihan raya presiden pada 9 Mei ini untuk melantik pemimpin baru.

Tetapi, Perdana Menteri, Hwang Kyo-ahn menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk mengambil alih tempat Geun-hye sebagai presiden.

Walaupun tidak berhasrat untuk bertanding, Hwang telah menjadi pemangku presiden apabila parlimen mendakwa Park pada bulan Disember lalu.

Namun, sebuah tinjauan pungutan suara menunjukkan bahawa beliau menjadi calon konservatif utama yang menjadi pilihan orang ramai untuk memimpin.

sk-739362

Park Geun-hye, Presiden Korea Selatan yang didakwa dan dipecat atas kesalahan rasuah – Sumber: http://www.express.co.uk

Menurut laporan, imuniti presiden Park hilang selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan secara rasmi untuk menamatkan era pemerintahannya atas kesalahan bersubahat dengan rakan lama yang memeras ugut wang daripada perniagaan serta membenarkannya untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan di belakang tabir.

Dalam pada itu, ramai tokoh berprofil tinggi, termasuk pegawai kanan pentadbiran Park dan pewaris Samsung, Lee Jae-yong, turut didakwa.

Park juga boleh dikenakan tuduhan memeras ugut, rasuah dan jenayah-jenayah lain. Namun, beliau telah menafikan sebarang salah laku undang-undang sambil menolak sekeras-kerasnya dakwaan rasuah yang dikenakan terhadapnya.

“Walaupun ia akan mengambil masa, saya yakin bahawa kebenaran pasti akan terbongkar,” kata bekas presiden itu selepas meninggalkan Rumah Biru pada hari Ahad.

Walau bagaimanapun, kenyataan beliau menimbulkan kebimbangan kerana boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat di negara itu.

Difahamkan, 3 orang telah maut manakala ramai tercedera dalam pertembungan di antara para penyokong Park dan pihak polis selepas keputusan Mahkamah dikeluarkan Jumaat lalu.

Sumber: Al Jazeera

Artikel Berkaitan