#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Krisis Turki-Belanda: Apa Yang Berlaku Sebenarnya?


 

Krisis yang semakin buruk di antara Turki dan Belanda merupakan peristiwa yang amat mengejutkan tentang bagaimana kempen pilihan raya/referendum boleh mencetuskan ketegangan antarabangsa.

Belanda akan mengadakan pilihan raya mereka pada hari Rabu esok (15 Mac 2017) yang dilihat sebagai contoh masa depan politik Eropah, di mana dunia kini menumpukan perhatian terhadap calon anti-Islam dari parti Kebebasan, Geert Wilders.

Sementara itu, Turki juga akan mengadakan referendum pada 16 April ini untuk melakukan pembaharuan perlembagaan yang akan memberikan Presiden Recep Tayyip Erdogan kuasa lebih besar dalam pemerintahannya.

Konflik di antara kedua-dua negara itu bermula selepas dua orang menteri Turki disekat daripada menghadiri perhimpunan di Belanda yang bertujuan untuk memancing undi dari kalangan ekspatriat Turki bagi menyokong referendum tersebut.

Bimbang kerana perhimpunan itu diadakan sangat hampir dengan hari pilihan raya mereka, kerajaan belanda menyekat Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu daripada mendarat di negara itu pada hari Sabtu lalu.

Apabila Betul Sayan Kaya, Menteri Keluarga Turki datang ke Rotterdam (bandar di Belanda) daripada Jerman menaiki kenderaan, pasukan polis tidak membenarkan beliau memasuki bangunan konsulat Turki di bandar itu kerana ramai warga Belanda-Turki yang berhimpun di sekitar kawasan tersebut.

Beliau kemudian dibawa ke sempadan Jerman dengan polis pengiring dan pulang semula ke Turki dengan sebuah jet peribadi.

Kejadian di Rotterdam itu mencetuskan kemarahan daripada kedua-dua negara. Wilders yang sangat terkenal dengan sentimen anti-Islamnya pula menggelar penunjuk perasaan di sana sebagai anti-Belanda.

“Belanda boleh lihat bahawa orang-orang tersebut adalah warga Turki, bukan Belanda. Mereka memiliki pasport Belanda, tetapi mereka tidak tergolong di sini,” kata beliau menerusi laman Twitter.

Susulan itu, pegawai-pegawai Turki mengecam tindakan kerajaan Belanda dan menyifatkannya sebagai “fasisme”.

Hubungan Turki bersama Kesatuan Eropah pula telah mula tegang sejak beberapa tahun lalu berikutan krisis pelarian Syria dan tindakan Eropah yang ‘melindungi dan memanjakan’ kumpulan pemisah Kurdish.

Erdogan juga sering kali meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sikap hipokrit dan campur tangan kuasa Barat dalam pelbagai isu.

“Pihak Barat telah membuang topeng mereka sejak beberapa hari lalu. Apa yang kita telah lihat adalah manifestasi jelas Islamophobia.

“Saya telah berkata bahawa saya fikir ideologi Nazi sudah tamat, tetapi saya salah. Ia masih hidup di Barat,” kata Erdogan yang turut melemparkan tuduhan terhadap Jerman apabila pihak berkuasa negara itu menghalang beberapa perhimpunan rakyat Turki.

Kini, kerajaan Turki bertindak menggantung hubungan peringkat tertinggi dengan Belanda dan tidak akan membenarkan Duta belanda ke Ankara untuk kembali sehingga Belanda memenuhi syarat Turki untuk mengadakan perhimpunan di sana, menurut Timbalan Perdana Menteri Turki, Numan Kurtulmus.

 

 

Sumber: The Washington Post

 

Artikel Berkaitan