#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Indonesia: Empat Orang Hartawan Lebih Kaya Daripada 100 Juta Orang Termiskin


 

Berdasarkan sebuah kajian mengenai isu ketidaksamaan, empat individu terkaya di Indonesia mempunyai kekayaan lebih daripada 100 juta orang termiskin di negara itu.

Kajian oleh Oxfam tersebut menyatakan bahawa negara yang mempunyai populasi lebih daripada 250 juta penduduk itu berada di nombor keenam paling teruk di dunia dari aspek ketidaksamaan. Dalam Asia pula, hanya Thailand sahaja berada di kedudukan yang lagi bawah.

Dalam perkara ini, “fundamentalisme pasaran” dilihat sebagai punca utama kerana ia membolehkan golongan kaya untuk meraih hampir semua faedah hasil daripada pertumbuhan ekonomi kukuh selama dua dekad, pemilikan tanah, dan ketidaksamaan jantina yang berleluasa.

Pada tahun 2016, 1% daripada golongan terkaya di Indonesia memiliki hampir setengah (49%) jumlah kekayaan seluruh populasi.

Dalam tempoh sehari, individu terkaya Indonesia boleh meraih faedah daripada hasil kekayaannya lebih daripada seribu kali ganda berbanding apa yang dibelanjakan oleh golongan miskin untuk keperluan asas dalam setahun.

Hasil pulangan pelaburan salah seorang daripada empat individu terkaya, termasuk jutawan perniagaan rokok, Budi Hartono, Michael Hartono dan Susilo Wonowidjojo boleh membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh setahun.

Menurut laporan itu lagi, kemiskinan tegar yang melibatkan pendapatan kurang daripada AS$1.90 sehari telah menurun secara mendadak sejak tahun 2000, namun 93 juta rakyat Indonesia masih hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$3.10.

Berikutan itu, Bank Dunia menyifatkan fenomena itu sebagai kemiskinan tahap sederhana.

Oxfam berkata, ketidakstabilan sosial juga boleh meningkat sekiranya kerajaan tidak menangani jurang di antara golongan kaya dan miskin.

Namun menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo atau panggilan mesranya “Jokowi”, mengurangkan ketidaksamaan adalah keutamaan kerajaan pimpinannya.

Sebuah tinjauan Bank Dunia pada tahun 2015 pula menunjukkan bahawa rakyat di negara itu amat bimbang mengenai jurang kekayaan.

Laporan tersebut mendapati pengumpulan cukai Indonesia berada pada tangga kedua terendah dalam Asia Tenggara dan sistem cukai juga “gagal memainkan peranannya dalam mengagihkan kekayaan.”

Untuk meningkatkan pengambilan cukai, supaya perbelanjaan terhadap perkhidmatan awam seperti pendidikan dan kesihatan boleh ditingkatkan, negara itu memerlukan kadar cukai yang lebih tinggi terhadap pendapatan besar, cukai warisan yang lebih tinggi dan juga cukai kekayaan yang baru.

Dalam pada itu, ia juga penting untuk mengekang pengelakan cukai, di mana menurut Oxfam, sebanyak AS$101 bilion mengalir daripada Indonesia kepada tempat perlindungan cukai pada 2015.

Sumber: Al-Jazeera

Artikel Berkaitan