#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Rusia: 63% Rakyat Ingin Putin Kekal Sebagai Presiden Selepas Pilihan Raya 2018


 

Sebuah tinjauan yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan di Rusia, Levada, pada November 2016, mendapati bahawa 63% rakyat Rusia ingin Putin kekal sebagai presiden selepas pilihan raya 2018, manakala 18% ingin melihat calon lain mengambil alih jawatan beliau, dengan 19% lagi tidak memberikan sebarang jawapan.

Mengenai tarikh pilihan raya pula, Pentadbiran Presiden Rusia (Kremlin) telah menafikan khabar angin yang mengatakan bahawa pilihan raya presiden negara itu yang sepatutnya berlangsung pada tahun 2018 akan diadakan lebih awal.

Jelas sumber itu lagi, pengumuman rasmi untuk memulakan kempen pilihan raya turut akan dilaksanakan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan.

“Semua perbincangan tentang pilihan raya presiden awal adalah karut sama sekali, sejak ia (khabar angin) dimulakan lagi,” menurut sumber berkenaan.

Perlembagaan Rusia menyatakan bahawa tarikh pilihan raya presiden perlu ditetapkan oleh Dewan Negara Parlimen yang dikenali sebagai Majlis Persekutuan (Federation Council).

Keputusan itu perlu diumumkan lebih awal daripada 100 hari dan tidak melebihi  90 hari daripada tarikh yang ditetapkan.

Undang-undang Persekutuan bagi Pilihan Raya juga telah menetapkan syarat khusus bahawa pilihan raya perlu diadakan pada hari ahad kedua dalam bulan yang sama pilihan raya lepas diadakan – di mana kali ini, tarikh yang sepatutnya adalah pada 11 Mac 2018.

Kebanyakan cadangan berhubung pilihan raya awal dikemukakan oleh ahli politik dan penganalisa Rusia pada tahun 2015, termasuk bekas menteri kewangan, Aleksey Kudrin, serta timbalan ketua Institusi Ekonomi Dunia, Yevgeniy Gontmakher.

Bulan Disember tahun lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin memaklumkan bahawa tidak mustahil untuk berlaku pilihan raya awal, tetapi tidak ada keperluan untuk mengadakan ia lebih awal.

Namun sehingga kini, beliau masih belum mengumumkan sebarang rancangan berhubung pilihan raya presiden tahun 2018 nanti.

Setakat ini, hanya tiga individu sahaja yang telah membuat keputusan untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut, iaitu pemimpin Parti Liberal Demokratik Rusia, Vladimir Zhrinovsky, pengasas Parti Yabloko, Grigory Yavlinsky, dan Aleksey Navalny, seorang blogger anti-rasuah yang kini menjadi ahli politik pembangkang.

Sumber: RT

Artikel Berkaitan