AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Singapura Bakal Pilih Wanita Melayu Pertama Sebagai Presiden?

Pilihan Raya Presiden Singapura 2017 yang bakal berlangsung pada bulan September ini akan menjadi pilihan raya yang paling unik dan signifikan memandangkan ia telah diperuntukkan kepada calon Melayu buat kali pertama sejak hampir 50 tahun lalu selepas Yusof Ishak menjadi presiden pertama negara itu.

Untuk pengetahuan anda, Singapura telah melalui lima penggal tanpa seorang presiden Melayu selepas Yusof yang berkhidmat dari tahun 1965 hingga 1970.

42288346_1463953295
Yusof Ishak, Presiden Pertama Singapura – Sumber: www.findagrave.com

Pada hari Isnin awal minggu ini, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Presiden Singapura selepas ia dibahaskan oleh 8 orang anggota parlimen selama tiga jam dan mendapat undian/sokongan majoriti.

Berikutan itu, soalan berhubung siapa calon terbaik untuk menjadi presiden kini menjadi perbualan utama dalam kalangan masyarakat setempat, tambah-tambah lagi apabila Speaker Parlimen, Halimah Yacob dikatakan berpeluang untuk menjadi bukan sahaja presiden Melayu, tetapi juga Presiden Wanita Pertama dalam sejarah Singapura.

Spekulasi ini tercetus ketika Rang Undang-Undang berkenaan sedang dibahaskan di Parlimen, apabila Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing tersasul dan secara tidak sengaja menyapa Halimah (yang sepatutnya dirujuk sebagai Puan Speaker) sebagai “Puan Presiden” sebanyak dua kali.

Kejadian itu mendapat respon yang positif daripada anggota parlimen dan ia turut menjadi fenomena di kalangan netizen apabila diviralkan di internet, dengan tajuk utama yang direka sendiri oleh pengguna internet iaitu “Warga Singapura Ucap Tahniah Kepada Halimah Yacob Kerana Menjadi Presiden Baharu”.

Walau bagaimanapun pada waktu berita itu tersebar, Halimah masih belum menunjukkan sebarang minat atau petanda yang beliau akan bertanding untuk jawatan tertinggi itu.

Selain daripada beliau, beberapa orang tokoh masyarakat Melayu di sektor awam dan swasta juga dilihat sebagai calon-calon yang berpotensi untuk menang dalam pilihan raya kali ini.

capture-6
Sumber: www.channelnewsasia.com

Bulan November lepas, Channel News Asia telah menyiarkan sebuah artikel yang berjudul ‘Singapore’s next President: A look at potential contenders’, di mana bekas menteri dan Speaker Parlimen, Abdullah Tarmuga turut berada dalam senarai calon yang berpotensi.

Menurut artikel berkenaan, calon dari sektor swasta yang berpotensi pula termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore, Bahren Shaari dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Po’ad Mattar.

Di dalam sebuah sesi tembual bersama agensi berita nasional Malaysia, Bernama, pada bulan yang sama pada tahun lepas, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ditanya sama ada beliau mempunyai calon-calon sedemikian dalam fikirannya.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik, beliau yakin ada calon yang layak untuk menjadi pemimpin di negara Republik itu.

“Dalam fikiran kami, tidak ada sesiapa secara khusus, tetapi kami tahu ada orang yang layak.

“Ia bergantung pada siapa yang tampil ke hadapan. Bukan urusan kerajaan untuk mengaturnya,” kata beliau sambil menambah bahawa seseorang calon itu perlu tampil kehadapan dengan sendiri.

Hsien Loong telah mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan dalam usaha memastikan perwakilan bersifat pelbagai kaum dalam pejabat Presiden.

Diluluskan pada 9 Nov 2016, pindaan yang bertujuan untuk membuat perubahan kepada pemilihan bakal presiden itu mendapat sokongan 77 anggota Parlimen manakala 6 orang lagi menolaknya.

Sumber: Bernama
Show More

Related Articles

Back to top button