#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Sabah: Pilihan Raya Negeri Sebelum PRU-14?


 

Walaupun penggal pemerintahan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional akan berakhir pada bulan Jun 2018, demam pilihan raya sudah boleh dirasai berikutan pelbagai spekulasi yang ‘memberi isyarat’ Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Baru-baru ini, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bercadang untuk mengadakan pilihan raya bagi negeri itu lebih awal dan bukannya diadakan ketika PRU14 berlangsung.

Memberi maklum balas berhubung spekulasi yang sedang meluas itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin berkata, “segalanya berkemungkinan.”

Pairin yang akan bersara daripada dunia politik pada akhir penggal ini menyatakan spekulasi tersebut muncul kerana sebelum ini, Sabah pernah mengadakan pilihan raya negeri pada waktu yang berbeza dengan pilihan raya umum.

“Ia semuanya tertakluk kepada spekulasi, yang menjadikan ia menarik. Tetapi, semua pihak telah dimaklumkan untuk bersiap sedia,” katanya merujuk kepada seruan Musa yang mengarahkan semua pemimpin untuk turun padang dan “bekerja seolah-olah pilihan raya berlangsung setiap hari”.

Berdasarkan cerita-cerita politik di negeri itu, Musa berhasrat untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal adalah kerana parti Barisan Nasional (BN) Sabah yakin mereka akan memenangi lebih banyak kerusi sekiranya tidak tersangkut dalam isu-isu nasional yang mampu memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk melancarkan serangan seperti mana yang mereka telah lakukan dalam PRU13 pada pada tahun 2013.

Menurut beberapa kumpulan politik pula. pilihan raya negeri itu boleh diadakan seawal bulan April jika BN memutuskan untuk tidak menggunakan 13 kerusi baharu seperti yang dicadangkan melalui persempadanan semula pada tahun lepas, di mana ia dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac ini.

Untuk pengetahuan anda, negeri Sabah kini memiliki 60 kerusi secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, menyatakan bahawa beliau 99% pasti dirinya tidak akan bertanding lagi selepas menyerahkan kepimpinannya sebagai presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang menjadi pemangku kepada jawatan berkenaan.

“Saya ingin memberi peluang kepada orang-orang muda. Lambat laun, setiap orang perlu bersara dan saya memberi notis terlebih dahulu,” ujar beliau.

Selain itu, Pairin juga merupakan seorang ahli politik  yang veteran di Sabah yang tidak pernah kalah dan mencatatkan rekod kemenangan berterusan di dalam pilihan raya sejak kali pertama bertanding untuk kerusi Tambunan pada tahun 1976.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sesiapa yang akan menggantikan tempat beliau di kedua-dua kerusi (Parlimen dan DUN) yang disandangnya akan diaturkan.

Sumber: The Star

Artikel Berkaitan