#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Sidang Media Rasmi Pertama Donald Trump Penuh Dengan Kontroversi Dan Kecaman


 

Lagi seminggu untuk majlis angkat sumpahnya, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengadakan sidang media pertamanya secara rasmi sejak kemenangan beliau di dalam pilihan raya presiden bulan November lalu.

Namun, persidangan yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu disifatkan oleh portal berita CNN sebagai “pelik, kasar dan ada kalanya mengelirukan.”

Ahli Republikan berkontroversi itu membawa ketengah pelbagai isu termasuk kes penggodaman Rusia terhadap pilihan raya AS, Obamacare, agensi perisikan, tembok besar Mexico, dan lain-lain.

Menurut Trump, beliau akan memansuhkan dan mengganti perkhidmatan kesihatan Obamacare dengan sesuatu polisi kesihatan baru yang masih belum didedahkan setakat ini.

Tetapi, beliau akan terus melaksanakan perubahan tersebut sebaik sahaja rang undang-undang penjagaan kesihatan baru mendapat kelulusan kongres.

Berhubung isu Rusia menggodam pilihan raya,  jutawan hartanah itu berkata selepas taklimatnya bersama pegawai-pegawai perisikan, beliau merasakan Rusia sememangnya dalang disebalik penggodaman tersebut.

Namun selepas itu, Trump menukar kenyataannya dengan mendakwa bahawa beberapa negara lain juga mungkin terlibat di dalam usaha penggodaman berkenaan.

“AS digodam oleh semua orang. Ini termasuk Rusia dan China dan semua orang.

“Rusia akan memberi penghormatan yang lebih kepada negara kita apabila saya yang memimpin berbanding orang lain yang telah memimpin,” katanya.

Walaupun telah mengeluarkan pelbagai kenyataan berkontroversi terhadap Rusia, keadaan menjadi semakin keliru apabila beliau masih berhasrat untuk memperbaiki hubungan yang “keruh” di antara AS dan Rusia.

“Sekiranya Putin suka Donald Trump, ia adalah satu aset dan bukan liabiliti,” ujarnya lagi.

Selain itu, bakal presiden itu juga sangat terkenal dengan kebenciannya terhadap pihak media. Sebelum ini, Trump pernah mengugut untuk menyekat kebebasan media dengan memansuhkan Pindaan Pertama di dalam perlembagaan.

Di dalam persidangan tersebut, beliau sempat menuduh CNN menyiarkan “berita palsu” dan menggelar BuzzFeed sebagai “timbunan sampah” selepas portal media itu menyiarkan dokumen-dokumen berkaitan tuduhan bahawa pembantunya bersekongkol dengan Rusia untuk memenangi pilihan raya lepas.

Menurut laporan, dokumen-dokumen tersebut disediakan oleh seorang bekas ejen perisikan British (MI6) yang diupah untuk melakukan “penyelidikan bertentangan” tentang Trump.

“Ia semua berita palsu. Ia tidak benar dan tidak berlaku. Ada sekumpulan penentang berkumpul, pihak yang tidak betul dan menggabungkan kesemua maklumat palsu,” ujarnya.

Malah, agensi perisikan juga tidak terlepas daripada menerima kecaman Trump. Beliau membandingkan agensi perisikan negara dengan Nazi kerana membenarkan pendedahan apa sahaja maklumat, termasuk maklumat palsu.

“Saya rasa ia sangat memalukan dan ia adalah satu perkara yang mungkin Nazi akan lakukan,” katanya.

Mengenai ‘impiannya’ untuk membina sebuah tembok besar di sempadan AS-Mexico pula, Trump memaklumkan bahawa rancangan tersebut akan dimulakan secepat mungkin, di mana kos pembinannya akan ditanggung oleh Mexico sama ada melalui kaedah bayaran terus atau menerusi cukai.

Akhir sekali, hartawan itu telah menyerahkan segala milikan perniagaannya kepada sebuah syarikat amanah, di mana ia akan diuruskan oleh kedua-dua anak lelakinya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai presiden.

“Saya berharap selepas 8 tahun saya akan datang balik dan berkata anda telah melakukan kerja dengan baik,” kata Trump sambil menambah sekiranya tidak, beliau akan menyatakan slogan popularnya ketika mengendalikan rancangan The Apperentice, iaitu “You’re Fired”.

Sumber: Mirror UK , CNN

Artikel Berkaitan