#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Baca Dulu Sebelum Kata Hiburan Itu Haram Dalam Islam


 

Boleh dikatakan ramai yang mengaitkan isu hiburan dan media seni sebagai perkara yang mengundang kepada maksiat. Malah ada yang terus ‘mengecop’ bahawa ia adalah sesuatu yang haram.

Mentaliti seperti inilah yang sebenarnya mengundang bahaya kepada agama Islam kerana ia akan membuat Islam kelihatan sebagai satu agama yang ekstrem.

07a735647d4bdaadfba2f0f8cb13aad1

Hakikatnya, anda perlu tahu bahawa kebanyakan ulama dahulu dan sekarang berpandangan hukum hiburan dan media seni pada dasarnya adalah harus.

Malah, Baginda Rasulullah SAW sendiri pernah membenarkan dua orang gadis golongan Ansar menyanyi, walaupun mendapat sedikit teguran daripada Abu Bakar RA pada awalnya. Ini menjadi bukti bahawa Islam membenarkan hiburan selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Antara ulama muktabar yang terdahulu yang berpendapat hiburan itu bukanlah sesuatu yang haram ialah Imam Syafi’i yang terhibur mendengar lagu yang merdu dan, gurunya, iaitu Imam Malik, yang mempunyai suara yang merdu dan pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi.

Manakala, dalam kalangan ulama baharu yang menganggap hiburan itu halal ialah ulama-ulama Al-Azhar. Antaranya, bekas Syeikh Al-Azhar, Allahyarham Syeikh Gadul Haq Ali Gadul Haq, dan Syeikh Al-Azhar sekarang, Syeikh Dr Mohamed Sayed Tantawi, juga Syeikh Mohammed Al-Ghazali dan Allahyarham Syeikh Shaarawi Mutawalli.

Netizen juga perlu sedar bahawa bukan semua konsert berbaur perkara negatif. Contohnya, konsert nasyid juga merupakan satu konsert dan ia malah penuh dengan unsur-unsur positif dalam memberi nasihat dan juga menjaga setiap batas-batas yang ditetapkan.

islamic-music

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-107 pada 10 hingga 11  Februari 2015 telah membuat Garis Panduan Hiburan Menurut Islam edisi terbaharu di mana aktiviti hiburan yang diadakan perlunya pengasingan di antara hadirin lelaki dan perempuan.

Sehubungan dengan topik ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan,YB Datuk Dr Ramli Mamat turut menegaskan bahawa kerajaan negeri Kelantan pada dasarnya tidak menolak hiburan.

Menurutnya, hiburan tidak salah asalkan waktu solat dijaga dan diasingkan antara lelaki serta perempuan. Yang penting, hiburan tidak berlebihan dan pengisian hiburan tidak melanggar syariat Islam.

Kesimpulannya, Islam tidak pernah cuba untuk menyusahkan hidup sesiapa, ia malah memudahkan lagi. Selagi apa yang dilakukan tidak membatasi apa-apa syariat Islam, jangan susahkan apa yang mudah.

Sumber: Sinar Harian

Artikel Berkaitan