#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


2016 Bukan Tahun Yang ‘Bertuah’ Buat Israel


 

2016 merupakan antara tahun yang paling mencabar buat seluruh dunia. Namun bagi Israel, ‘tidak bertuah’ adalah istilah yang paling sesuai untuk menggambarkan keadaan mereka sekarang.

Pada tahun lepas, pelbagai ‘malapetaka’ telah melanda wilayah haram Israel. Antaranya adalah tragedi kebakaran pada bulan November lepas yang disifatkan sebagai yang terburuk di dalam sejarah wilayah itu, di mana lebih 20 buah negara perlu menghantar bantuan untuk memadamkan api yang membakar kawasan hutan Carmel di Haifa.

Walaupun tragedi tersebut tidak mengorbankan sesiapa, namun ia mengakibatkan lebih daripada 200 keluarga kehilangan tempat tinggal dan mengambil masa 4 hari untuk memadam api yang marak itu.

Selain itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta isterinya, Sara Netanyahu, turut disiasat kerana skandal rasuah mereka.

Difahamkan, Netanyahu disyaki menerima ‘hadiah lumayan’ daripada para penyokongnya yang hartawan (tempatan dan luar negara).

Bagi kes Sara pula, selain daripada disiasat berhubung kesalahan penyalahgunaan dana awam untuk tujuan peribadi, beliau juga didapati bersalah di mahkamah kerana menganiaya bekas pekerjanya.

Tidak cukup dengan itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan Disember lalu telah meluluskan satu resolusi yang mengecam serta menggesa Israel supaya menghentikan aktiviti pembinaan penempatan haram mereka di tanah milik Palestin dengan segera.

Resolusi yang dikenali sebagai “Resolusi 2334” itu menerima kelulusan dari 14 buah negara yang menganggotai Majlis Keselamatan itu, di mana salah sebuah negara yang menyokong resolusi berkenaan adalah Malaysia.

Walau bagaimanapun, kedegilan Israel terserlah dengan nyata apabila mereka menentang keras dan tidak mahu mematuhi resolusi yang dikenakan terhadap mereka.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow, reaksi (kedegilan) Israel berhubung resolusi itu tidak mengejutkan ramai pihak memandangkan PBB sudah mengeluarkan hampir 50 jenis usul bagi membantah segala perbuatan kejam wilayah itu terhadap rakyat Palestin sejak penubuhannya pada tahun 1948 lagi.

Selain itu, sebanyak 12 negara yang terdiri daripada Britain, Perancis, Rusia, China, Jepun, Ukraine, Angola, Mesir, Uruguay, Sepanyol, Senegal dan New Zealand turut mengundi untuk menyingkirkan Israel daripada PBB.

Undian penyingkiran itu dilakukan kerana Israel telah berkali-kali melanggar Perkara 1 Piagam PBB 1945 (United Nations Charter 1945).

Dr. Muzaffar berkata, piagam tersebut adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang – undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Tidak berpuas hati dengan tindakan 12 negara itu, Israel mahu menggantung kerjasama dengan duta negara-negara terbabit dengan serta-merta.

Memetik laporan CNN, langkah Netanyahu itu tidak akan mendatangkan apa-apa kesan terhadap mana-mana pihak, tetapi agensi berita itu turut menyifatkan bahawa Perdana Menteri Israel tersebut ‘memang naik darah’ dengan undian penyingkiran yang telah dilakukan.

Artikel Berkaitan