#toodiadotmy :: Semua tentang belia ada di sini! Kami bukan sensasi tapi berinformasi.


Bajet Negara Seterusnya Harus Memberi Tumpuan Lebih Terhadap Kebajikan Orang Miskin


 

Sering kali kita terdengar cerita menyayat hati tentang orang miskin yang diheret ke mahkamah kerana mencuri makanan atau barangan lain untuk membahagiakan anak-anak mereka.

Antara kes yang dilaporkan baru-baru ini adalah seorang ibu mencuri daging untuk memberi anak makan dan juga seorang bapa mencuri mainan di pusat membeli belah kerana tiada duit untuk membeli hadiah sempena hari jadi anaknya.

Persoalannya, mengapakah perkara ini masih berlaku sedangkan negara kita sedang membangun ke arah negara maju berpendapatan tinggi?

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang diceritakan oleh bekas Menteri Undang-Undang de facto, Datuk Zaid Ibrahim, setiap orang miskin dan kurang upaya memerlukan bantuan kewangan segera daripada kerajaan.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan ada mengeluarkan peruntukkan untuk golongan-golongan ini, tetapi jumlah yang diberi harus dikaji semula mengikut keadaan semasa.

Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal negeri dan juga Majlis Agama yang mengendalikan wang zakat boleh bekerja sama dalam memastikan agar golongan ini boleh mendapat wang yang cukup setiap bulan.

Zaid berkata, kehidupan orang-orang miskin di kampung benar-benar teruk dan ramai dikalangan mereka yang layak untuk mendapat bantuan oleh kerajaan tidak mendapatnya.

Kerajaan harus meletakkan usaha yang lebih untuk mengenal pasti golongan ini. Selepas itu, barulah kerajaan boleh mengeluarkan bajet yang sewajarnya untuk perbelanjaan mereka.

Ujar beliau lagi, ia juga agak jelas bahawa orang miskin di negara kita tidak mendapat layanan yang adil daripada pihak berkuasa.

Di dalam pembentangan Bajet negara yang akan datang, Zaid mencadangkan agar bantuan kebajikan bulanan mandatori RM 750 dibayar kepada tiap-tiap orang miskin atau kurang upaya yang memerlukan dan juga kepada mereka yang tidak dapat bekerja di seluruh negara.

Untuk melaksanakan langkah ini dengan berkesan, kerajaan harus menjaga satu pangkalan data yang dikemas kini dalam mengenal pasti berapa ramai orang yang memerlukan bantuan segera ini.

Menurut Zaid, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima jumlah bantuan yang berbeza setiap bulan yang terdiri daripada RM 150 – RM 450.

Tetapi, jumlah tersebut tidak mencukupi dan harus ditingkatkan segera kepada RM 750 hanya untuk membeli keperluan asas dalam keadaan ekonomi hari ini.

“Amaun yang diberi kepada mereka tidak patut menjadi ‘token’ semata-mata untuk menunjukkan yang kita ‘mengambil peduli’ tentang golongan miskin – ia harus cukup bagi mereka untuk mempunyai makanan yang baik, makanan dan tempat tinggal,” kata beliau.

Jika cadangan ini direalisasikan, diharapkan agar tiada lagi kes ibu bapa yang mencuri demi anak-anak mereka lagi selepas ini.

Semoga ia juga akan memberi manfaat yang lebih dan membawa sinar baru kepada golongan miskin dan kurang upaya di masa akan datang.

Sumber: http://www.thestar.com.my/opinion/columnists/all-kinds-of-everything/2016/08/19/theres-no-life-if-youre-poor-the-next-budget-should-make-adequate-provision-for-those-with-a-low-inc/

 

Artikel Berkaitan